Tuesday, November 16, 2010

JUITA__PART 9 (ENDING)

Airil menutup surah yassin yang sedang dipegangnya. Dia kemudian berdoa seketika memohon agar roh Juita ditempatkan bersama orang-orang yang diredhai Allah. Dia memohon kesejahteraan Juita di akhirat sana.
Airil tidak dapat menahan perasaan yang menguasai hatinya kini. Perasaan pilu yang teramat sangat. Juita pergi dulu sebelum dia berjaya mengikat gadis itu disisinya. Gadis yang dicintainya pergi dulu sebelumnya. Memang agak sukar diterima oleh akal fikirannya.
Airil mengeluarkan sehelai surat berwarna biru dari kocek baju melayunya. Perlahan-lahan dia membuka lipatan surat itu dan mengulang membaca surat itu untuk yang entah keberapa kali. Entah kenapa surat itu sentiasa berada bersamanya. Setiap kali dia rindukan Juita, dia akan membaca surat itu. Seolah-olah dia mendengar suara Juita setiap kali membaca surat itu.

Assalamualikum…

Airil Hakimi, hiduplah baik-baik. Kehidupan ni masih panjang. Teruskan perjuangan awak. Rasanya saya tidak dapat meneruskan perjuangan hidup ini bersama dengan awak kerana masa untuk saya bakal tiba. Saya tidak meminta semua ini terjadi. Kalau boleh saya ingin hidup lebih lama. Saya ingin mendengar awak berbicara. Meskipun tidak dapat melihat awak, saya bahagia setiap kali berada di sisi awak.
Awak percaya tak pada jatuh cinta pandang pertama? Itulah yang berlaku terhadap saya. Saya memang jatuh cinta pandang pertama terhadap awak. Apa yang lebih menguatkan cinta saya terhadap awak ialah karekter awak sama seperti abah saya. Sejak itu saya tidak mampu menoleh kearah lain lagi. Saya cuma boleh merasakan cinta setiap kali berada bersama awak.
Tiga tahun awak pergi. Saya selalu merindui awak. Setiap kali abah berbicara, saya merasakan seolah-olah awak yang sedang berbicara. Ketawa abah, mengingatkan saya pada awak. Tangan abah, panas seperti tangan awak ketika awak melamar saya dulu. Tapi saya menerima kenyataan bahawa awak takkan pernah kembali untuk saya.
Namun, cinta saya pada awak tak pernah berubah. Setiap hari saya berdoa semoga saya dapat terus hidup dan dapat melihat awak. Tapi…saya terpaksa menerima kenyataan bahawa saya tidak dapat hidup lebih lama lagi setelah barah ini semakin merebak di dalam kepala saya.
Jangan awak salahkan diri awak lagi. Saya tak boleh hidup dengan tenang di akhirat sekiranya awak tidak memaafkan diri awak. Mulakan hidup yang baru dan carilah cinta yang baru. Cinta saya pada awak takkan pernah berubah meski bukan saya yang memiliki awak. ‘Cinta itu tak semestinya harus memiliki’. Pegang kata-kata saya ini. Redhakan permergian saya.

Salam sayang,

Juita Hanani


Airil melipat kembali kertas biru dan memenggengam batu nisan yang tertulis nama Juita Hanani dalam tulisan jawi.
Hatinya tidak dapat ditahan lagi. Dia menangis teresak-esak disitu. Dia pasti Juita sedang melihatnya. Dia ingin Juita tahu betapa sedihnya dirinya kerana ditinggalkan oleh Juita.
‘Saya berjanji akan hidup baik-baik Juita. Saya tidak akan sia-siakan hidup saya. Saya cintakan awak Juita! Saya cintakan awak!’ Hatinya menjerit.
‘Saya janji Juita. Saya tidak akan buat awak sedih dengan melihat keadaan saya macam ni. Saya akan pulih Juita. Dokan saya. Saya juga akan terus berdoa untuk kesejahteraan awak..’

No comments:

Post a Comment