Wednesday, November 24, 2010

100 FERRARO ROCHER

Aku berjalan sayu menyusuri pantai. Kakiku menguis-guis pasir dan dibasahi air laut yang menghempas perlahan. Angin laut bertiup perlahan seolah meniupkan semangat yang baru untuk diriku. Deruan ombak sekata dengan hembusan nafasku. Pagi yang tenang, memberikan kedamaian yang tidak terhingga.

Kakiku berhenti melangkah dan aku menghadap ke lautan yang terbentang luas. Sayup mata hitamku memandang ke air yang biru. Tudungku seolah-olah dibelai angin laut. Jika aku manusia yang bisa terbang, ingin aku terbang di awan biru dan melihat seluruh keindahan lautan ciptaan-Nya.

“Berundurlah Cinta. Berundur..,” katanya.

Hati mana tidak luka mendengarkan bicara seperti itu. Aku tidak pernah memaksa. Aku tidak pernah merebut. Jauh sekali untuk merampas. Bukan aku insannya yang mahu merosakkan kebahagiaan orang lain. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya. Aku tidak pernah berdoa agar kami dijodohkan, kerna aku tahu, tidak semestinya dia suka pada diriku.

“Cinta! Padan muka kau!” Masih terngiang-ngiang sumpah-seranah yang ku terima. Pertama kali dalam hidupku. Memalukan dan mengaibkan!

Aku berjanji tidak mahu mendengar apa-apa lagi yang keluar dari bibir Dafi. Ayat terakhirnya, “Kau tak bererti apa-apa buat aku Cinta.”

Cukup! Cukup! Cukup! Aku menekup telingaku dengan kedua-dua belah telapak tanganku. Kejamnya cinta! Tapi kenapa cinta kejam kepada insan yang bernama Cinta?

Dewi Cinta. Namaku seringkali membuatkan insan lain tertawa. Arwah papa dan mama yang memberikan nama itu. Ibu angkatku, Yuslina yang sering bercerita tentang kedua orang tuaku yang tak pernah ku rasa pelukan dan kasih-sayang mereka dalam hayatku ini. Kata ibu, papa sangat sukakan nama Dewi dan mama pula mahu aku bernama Cinta.

Dalam kemalangan yang telah mengorbankan nyawa insan yang paling aku sayangi itu, aku telah terselamat. Tetapi, papa dan mama tidak dapat diselamatkan.

“Cinta, kau yatim piatu. Bukan aku nak menghina, tapi…,” Dafi terhenti.

“Tapi apa Dafi?” tanyaku.

“Emm…. belum tentu kau keturunan baik-baik.”

Setitis air mata menitis. Terima kasih atas penghinaan kau Dafi. Terima kasih.

Aku terduduk. Hatiku semakin lemah. Kenapa Dafi? Kenapa? Tiga tahun aku memendam rasa. Inikah balasan buat diriku? Setidak-tidaknya, janganlah kau hina aku sebegitu rupa Dafi.

“Cinta, mari makan!” ajak ibuku.

“Baik ibu!” aku bingkas bangun.

“Ayah mana ibu?” soalku setelah mengambil tempat di meja makan.

“Ayah outstation sayang. Petang nanti temankan ibu beli barang dapur okay?” Yuslina bertanya anak angkatnya.

Cinta mengangguk dan tersenyum manis.

Walaupun Puan Yuslina dan Encik Aziz adalah ibu dan ayah angkatnya, mereka telah menganggapnya seperti anak sendiri. Dirinya tidak pernah rasa terabai. Kasih-sayang dan perhatian yang diberikan melebihi segalanya. 25 tahun Dewi Cinta binti Muhammad Afnan dalam jagaan mereka, tidak pernah dia merasakan seperti orang asing. Tambahan pula mereka memang tidak dikurniakan cahaya mata. Mamanya, Dayangku Intan seolah-olah tahu bahawa mereka akan pergi dahulu sehingga meninggalkan wasiat agar dirinya dipelihara oleh Yuslina dan Aziz.

“Dafi datang! Dafi datang!” kata Erika kepadaku. Kalut benar.

“Hoi! Diam sikit. Ingat ni rumah kau ke apa? Malu sikit kat orang,” marahku pada Erika sambil cuba mengawal nada suara.

Erika mencebik. “Eleh.. sukalah tu!”

“Apa pulak? Merepek kau ni.”

“Eleh.. tak suka konon. Yang sibuk duk betulkan tudung tu mende? Dah kalut dah.. tak senang duduk dah.. Hahahaha…,” Erika ketawa besar.

“Diamlah!” aku menampar bahu Erika.

Aku semakin gementar. Entah mengapa setiap kali dia dekat denganku, aku pasti rasa gementar. Sehinggakan menggeletar seluruh tubuhku. Wah! Cinta pandang pertama memang gila!

“Handsome lagi si Nabil tu..,” cebik Erika.

“Nabil tu comel, bukan handsome!” kataku lagi. Makanan didepan mata tidak dapat ku sentuh lagi. Arh.. gila betul.

Setiap kali waktu makan tengahari pada hari Selasa dan Khamis, aku pasti akan mengajak Erika makan di Restoran Nelayan. Aku tahu, setiap hari Selasa dan Khamis, Dafi akan datang ke sini dengan 5 lagi rakan-rakannya.

Walaupun kami kerja di dalam satu organisasi, tetapi kami jarang berjumpa dan berurusan. Hotel Puteri Pan Pacific bukannya kecil. Aku di bahagian pengurusan bawahan manakala dia atasan. Sangat beruntung jika boleh terserempak dengannya.

Aku melihat 6 jejaka kacak dan bergaya itu berjalan masuk ke dalam restoran. Sememangnya 6 orang jejaka ini adalah ‘hot stuff’ di hotel tempat aku bekerja. Tengok saja gaya pasti tertawan. Bukan calang-calang orang pulak tu. Semuanya aku kenal. Aku jelah kenal dia orang. Dia orang mana kenal aku. Haha..

Yang tinggi lampai ala-ala model tu Hisham namanya. Yang kulit putih gebu tu Mukhriz. Yang muka comel-comel bergigi besi tu Nabil. Yang mukanya iras Syed Aiman tu adalah Syed Mustafa. Hah.. Syed jugaklah.. Haha. Erm.. yang muka mat salleh celup tu, Herry. Entahlah nama betulnya apa. Yang aku tahu orang panggil dia Herry je. Muka mat salleh, nama pun nak mat salleh jugak. Haha. And.. the last one. Top jugak la mamat ni. Orangnya tinggi, kulit taklah putih sangat taklah hitam sangat. Sawo matanglah kiranya. Hidung orang Melayu la. Cantik la. Bibirnya erm.. merah! Memang tak merokok. Mata coklatnya yang paling aku suka.

“Boleh kami join awak berdua?”

Mati lamunan aku mendengar soalan itu. Aku mendongak. Hah!! Dafi!

“Er.. er.. er..,” tergagap-gagap aku hendak menjawab.

“Silakan.” Suara Erika mempelawa membuatkan mataku buntang melihatnya. Erika mengenyitkan mata padaku.

“Erm.. Cik Erika dan.. Cik..,” Hisham cuba mengingati namaku. Berkerut-kerut keningnya. Mereka semua sudah mengambil tempat di meja kami.

“Cinta,” jawab Nabil.

“Dewi Cinta,” kata Syed Mustafa memberi nama penuhku.

Berkerut dahiku memandang Nabil dan Syed Mustafa.

“Awak kenal kami ke?” soal Erika tampak sopan sekali. Hai… minah ni. Tiba-tiba sopan ni kenapa pulak?

“Of course!” kata Herry yakin. “Awak berdua popular!”
“Popular?” soalku pada Herry. Pelik sungguh!

“Ala… semua orang dah tahu. Hai.. tuan punya badan takkan tak tahu,” perli Mukhriz.

‘Apakah??’

Aku memandang Erika. Aku mula tidak sedap hati. Permainan apakah ini? Erika juga kelihatan semakin gelisah.

“Apa maksud korang ni?” soal Erika berterus-terang.

Mereka semua serentak ketawa. Kecuali Dafi. Dia hanya diam. Aku rasa dipermainkan.

“Big boss pun dah tahu. How sweet you darling..,” kata Syed Mustafa sambil mengenyitkan matanya padaku.

‘Apakah??’ Aku menggarukan kepalaku yang tidak gatal langsung. Tanganku pula rasa gatal nak bagi penampar!

“Apa maksud you?” tanyaku. Fuhh.. masih dapat mengawal rasa marah.

“Dahlah. Mari kita pergi. Korang ni.. tak habis-habislah. Mintak maaf ye Cik Cinta dan Cik Erika. Kawan-kawan saya memang macam ni. Mereka bergurau aje,” kata Dafi meminta maaf bagi pihak rakan-rakannya. Dia sudah menolak kerusi untuk bangun. Rakan-rakannya turut bangun.

“Cik Cinta.. awak memang hebat!” kata Mukhriz dengan muka ‘bangganya’.

‘Apakah??’

“Dewi Cinta la katakan…,” perlian daripada Nabil memang pedas. Adus!

“Mintak maaf. Boleh terus-terang?” Erika sudah hilang sabar. Dia bangun. Berhadapan dengan mamat-mamat ‘hot stuff’ yang rupa-rupanya sewel itu.

“Lain kali aje ye kita makan bersama. Maaf mengganggu masa lunch korang,” Dafi meminta maaf lagi. Bosan betul mamat ni!

Aku menarik Erika agar duduk. Erika mendengus nafas keras. Mereka sudah berlalu.

“Entah apa-apalah. Harapkan muka je handsome tapi gila rupanya. Satu apa pun aku tak faham apa yang dia orang cakap,” Erika melepaskan rasa marah. “Hoi! Kau tak bengang ke?”

Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. “Biarlah mereka tahu. Aku tahu ini kerja dia.”

“Maksud kau?” soal Erika tidak mengerti.

“Aku dah bagitahu Dafi aku suka dia. Tak sangka dia akan bagitau semua kawan-kawan dia.”

Terlopong Erika mendengar pengakuan ‘berani mati’ aku. Tidak lama kemudian Erika menepuk tangannya. “Syabas! Aku bangga dengan kau!”

Aku hanya tersenyum.

“Dia kata apa?” soal Erika begitu teruja.

“Nothing.”

“Nothing??”

Aku mengangguk.

“Tak apa.. permulaan baru,” kata Erika memujuk. Bukan memujuk aku. Memujuk hatinya sendiri. Haha…

Dafi…

Hati ini hanya untuk dirimu. 25 tahun saya hidup. Hanya kepadamu cinta ini ingin saya serahkan. Cinta yang pertama, cinta yang terakhir.. hanya untukmu Dafi.. Dafi Harith. Dafi Harith.. saya cinta awak!

Dewi Cinta

Cukuplah setakat itu! Aku tidak sanggup melihat lagi. Membaca butir-butir kata yang aku tulis itu semakin menyakitkan.

“Siapa punya kerja ni??” Erika sudah menempik. Kertas-kertas yang berada di tangannya kian hancur dikerjakannya.

“Siapa punya kerja???” semakin marah pula.

Aku berlari pantas masuk ke dalam tandas. Aku menguncikan diri di situ. Tidak lama kemudian terdengar ketukan di pintu tandas.

“Cinta! Cinta! Buka pintu ni! Aku ni!” Erika memanggil namaku.

“Cinta.. Jangan buat macam ni. Aku risaukan kau. Kau jangan risau. Aku akan cari orang yang buat ‘kerja gila’ ni. Aku akan lumatkan dia! Aku janji Cinta! Keluarlah…,” rayu Erika kedengaran begitu risau.

Aku tidak tahan lagi. Semakin esak tangisanku. “Aku malu Erika! Aku malu!”

“Apa yang kau nak malukan? Cinta itu suci! Kau sendiri yang cakap. Tak perlu malu untuk mengaku cinta. Kau Dewi Cinta! Kuatkan semangat kau Cinta! Please..,” Erika memberikan kata-kata semangat.

Aku akhirnya membuka pintu tandas. Air mataku masih mengalir. Erika menarik diriku ke dalam pelukkannya. “Aku akan cincang orang yang buat kau macam ni!” kata Erika penuh dendam. Aku semakin erat dalam pelukannya.

Aku tidak tahu bagaimana diariku boleh jatuh ke tangan orang lain. Setahu aku, aku meyimpannya di dalam laci meja kerjaku. Rasanya tiada siapa yang tahu aku menyimpannya di situ. Diari merah itu menyimpan semua cerita tentang hidupku. Dan.. paling malang sekali, aku menyimpan banyak cerita tentang Dafi di situ. Siapa punya angkara yang ingin menjatuhkan aku? Kejamnya…

Dua bulan berlalu. Aku sudah tidak kisah mendengar semua cerita tentang perasaanku terhadap Dafi. Aku sudah muak. Si pelaku yang telah membuat khianat kepadaku masih tidak tertangkap walaupun Erika sudah berusaha keras menyiasat siapa dalang di sebalik semua ini.

Aku mengambil angin petang di kolam renang. Cuti hujung minggu begini ramai juga yang bercuti . Hotel mewah ini juga penuh dengan penginap-penginap yang berstatus dan berjawatan tinggi juga orang yang bergaji besar. Bukan calang-calang orang dapat menginap di Hotel Puteri Pan Pacific.

“Sudahlah Cik Cinta. Usah menanti buah kelapa yang tidak gugur,” teguran suatu suara membuatkan jantungku hampir gugur.

“Eh, Encik Nabil!” aku bangun menyambut kedatangan Nabil seraya berganjak sedikit untuk memberinya ruang untuk duduk di bangku sederhana panjang itu.

“Thanks,” ucap Nabil.

“Cik Cinta.. awak terlalu yakinkah dengan Dafi?” soal Nabil tiba-tiba.

Aku diam. Malas mahu menjawab soalan itu. Leka aku memerhatikan seorang kanak-kanak yang merengek-rengek untuk masuk ke dalam air. Ibunya sudah mengangkatnya. Belum puas bermain air agaknya.

“Hanya orang gila yang sanggup menanti sesuatu yang tak pasti!” kata Nabil tegas. Mungkin geram kerana tidak dipedulikan.

“Biar jadi gila, tapi jangan jadi hina,” kataku.

“Memang hina. Hina perempuan yang ‘bak perigi mencari timba’,” kata Nabil sambil mendengus kecil.

Aku menoleh memandang Nabil. Main kasar nampak!

“Biar ‘bak perigi mencari timba, asalkan saya tahu apa yang saya mahu Encik Nabil,” kataku sambil memandang tepat ke dalam mata Nabil.

“Asalkan awak tidak menipu dengan diri sendiri? Begitu?” soal Nabil.

Aku hanya tersenyum sebagai balasan kepadanya.

“Cik Dewi Cinta.. Awak nak tahu suatu benda tak? Perempuan ini nilainya pada maruah. Meluahkan perasaan ibarat awak mencemar maruah sendiri. Kalau saya jadi awak, tentu saya akan berhenti kerja. Semua orang bercakap tentang saya. Huh.. tak sanggup saya nak hadapinya. Lagipula, Dafi diam aje. Bermakna awak bertepuk sebelah tangan. Sangat memalukan! Maruah awak dah tercalar Cik Cinta. Tercalar!” Nabil berkata angkuh. Dia bangun sambil menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam saku slack hitamnya. “Tercalar!” katanya lagi. Kemudian dia berlalu.

Setitis air mata jatuh. Itulah yang terjadi kepada diriku semenjak cerita tentang perasaanku tersebar. Tambah menyedihkan, Dafi hanya mendiamkan diri dan biar aku yang menanggung semuanya. Betul kata Erika, ‘jika aku mahu bermain dengan api, aku harus bersedia jika ianya membakar diriku sendiri.’ Kerana itu aku masih bertahan lagi. Selama 6 bulan perkara ini berlanjutan dan kesabaranku kian tipis. Tambahan dengan kerenggangan hubungan aku dan Erika. Aku tidak tahu apa yang membuatkan Erika semakin menjauhi diriku. Apakah salahku? Aku kian sepi..

Ibu yang sentiasa mengikuti perkembangan diriku dan memegang semua ceritaku sering meniupkan semangat untuk aku. Dia tidak mahu aku rebah. Rebah bersama cinta. Kata ibu, biar mati bersama cinta seperti mama dan papaku, tapi jangan rebah kerana cinta. Aku Dewi Cinta. Aku takkan rebah kerana cinta! Itu yang selalu ibu tegaskan. Cuma ayah saja yang tidak tahu akan hal ini. Aku tidak mahu ayah risau akan diriku. Pastinya bukan calang-calang tindakan yang akan ayah ambil jika dia tahu anaknya ini sedang kesusahan. Ayah seorang pelindung yang terbaik. Semua musuhku pasti akan ayah tewaskan.

Langkahku terhenti apabila aku mendengar suara orang berbicara tentang diriku di pantri.

“Kesian Cinta. Mesti dia kecewa bila tahu semua ni.”

“Kesian? Euww! Dia tu tak ada maruah kau tahu. Buat apa nak kesian?”

“Entahlah.. kalau aku jadi dia, parah jugak hati ni. Patutlah Erika tu diam aje dan mereka dah makin renggang. Rupanya semua ni kerja Elisa.”
“Aku tak sangka Elisa sanggup khianati kawan baik kakaknya. Untuk apa ya dia buat macam tu? Sampai sanggup fotostat diari Cinta dan sebarkan kat seluruh kakitangan hotel ni.”

“Alah.. sebab..,” mati kata-kata seseorang apabila terdengar benda pecah.

Kalut 4 orang wanita itu keluar dari pantri dan masing-masing gigit jari melihat Cinta berdiri di situ.

Sebuah mug sudah pecah berderai di lantai.

“Cinta..,” sudah tidak keruan jadinya mereka berempat.

“Betulkah semua ni kerja Elisa?” soal Cinta. Matanya berair.

Mereka semua diam tidak berkutik.

“Betul ke kak Rita??” tanya Cinta lagi.

Kak Rita mengangguk dalam ketakutan.

Cinta menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah pergi.

Kini semuanya jelas. Elisa melakukan semua ini demi kakaknya, Erika. Memang sejak dulu lagi keluarga Erika mahu menyatukan Erika dan Dafi. Rupanya keluarga mereka saling mengenali. Elisa mahu memalukan Cinta supaya Cinta mengundurkan diri. Dia mahu membuat Cinta sudah malu untuk berdepan dengan Dafi dan tidak mahukan Dafi lagi.

“Maafkan Lisa kak Dewi. Lisa buat semua ni demi kak Erika,” Elisa meminta maaf lagi. Selagi dia tidak mendengar kata maaf daripada Dewi Cinta, selagi itu dia akan terus-terusan berasa bersalah.

“Kenapa tak bagitahu aku kau kenal dia dan kau akan dijodohkan dengan dia Erika?” tanpa mempedulikan Elisa, aku menyoal Erika tanpa memandang wajah yang sedang tunduk itu. Seperti bersalah benar lagaknya.

Erika mengesat air matanya. “Aku pernah cuba nak bagitahu kau dulu tapi tak sempat. Kau yang lebih pantas bagitahu aku yang kau sukakan dia. Aku tak sanggup Cinta. Aku tak sanggup nak kecewakan kau.”

“Jadi, kau dah lama tahu rancangan keluarga korang ni? Kau dah tahu sebelum kau tahu aku sukakan dia kan?” soalku.

Erika mengangguk. Tidak sanggup berkata ‘ya’.

Aku menarik nafas dalam-dalam. “Aku tak sekejam yang kau sangkakan Erika. Akak tak sejahat yang Lisa sangkakan. Akak cuma mencintai seorang lelaki. Salahkah? Aku minta maaf. Kerana aku, perkahwinan kalian lama sudah tertangguh. Kerana aku.. semuanya jadi berantakan. Kini semuanya sudah jelas. Thanks,” habis berkata aku mula mengatur langkah.

“Cinta!”

“Kak Dewi!”

Serentak dua beradik itu memanggil.

Aku menoleh.

“Kau ambillah dia Cinta. Aku lepaskan dia,” kata Erika.

“Akak.. maafkan Lisa kak..,” rayu Elisa pula.

Aku menggeleng. “Dia bukan mainan yang boleh di tolak ke sana dan ke mari Erika. Hargailah dia Erika. Aku takkan bertindak kejam. Aku tahu tempat aku dan aku tak mahu meruntuhkan perhubungan dua keluarga. Dan.. akak dah lama maafkan insan yang telah mengkhianati akak.”

“Akak dah maafkan Lisa?” tanya Elisa dengan gembiranya.

Aku mengangguk.

Elisa menghampiriku. Dia cuba meraih tanganku. Aku mengelak. Muka Elisa berubah. Begitu juga Erika yang sedang menjadi pemerhati.

“Tapi tak bermakna kita boleh menjadi sedekat dan serapat dulu lagi.”

“Dah berhenti??” soal ibu terkejut dengan kenyataanku.

Aku mengangguk. Kemudian tersenyum. “Hati yang hancur perlu dirawat kan ibu? Ibu jangan risau! Dewi Cinta sangat kuat. Ibu.. tolong Cinta cari kerja boleh tak? Hehe..” aku tertawa.

“Sayang…,” kata ibu lembut. Wajah simpatinya membuatkan mataku hampir berair.

“Ibu.. jangan ibu. Please.. Cinta nak lupakan semua ni ibu. Ibu kena bantu Cinta. Kita lupakan. Kita lupakan,” kataku meminta agar ibu tidak menunjukkan sikap simpatinya. Cukup-cukuplah aku merana.

“Ayah akan tolong Cinta!”

Entah dari mana ayah muncul dan berjanji akan membantuku. Bahuku dipeluk erat oleh ayah. “Kadang-kadang kita kena ubah angin. Barulah boleh dapat banyak pengalaman.” Dicuit pula daguku.

Mujurlah semasa aku kecil dulu ibu menyusukan aku dengan susu badannya. Jadi, tidak haram aku bersentuhan dengan ayah angkatku itu. Aku terharu kerana ibu sanggup memakan pil dan vitamin dan berbagai perkara lagi yang dilakukannya semata-mata untuk menyusukan aku dengan susu badannya sendiri.

Petang itu kami menikmati minum petang dengan rasa bahagia. Jarang dapat begini kerana ayah semakin sibuk dengan urusan kerjanya. Biasanya hanya tinggal aku dan ibu tapi hari ini ada ayah sekali.

Aku mencapai diari merah yang dihulurkan oleh Dafi.

“Mintak maaf sebab sudah membacanya,” mohon Dafi.

Aku diam. Aku ketawa di dalam hati. Semua orang sudah membacanya Dafi. Tidak perlu meminta maaf.

“Awak terlambat hadir dalam hati saya,” kata Dafi menikam sanubariku.

Aku diam lagi. Tidak sanggup memandang. Takut hatiku akan sakit lagi. ‘Mencintai tanpa memiliki.’ Bukan mudah untuk menghadapinya.

“Tolong undurkan diri.”

Aku memandang Dafi yang matanya tertancap pada kota raya yang dapat dilihat dari atas bukit ini. Kabus pagi yang sepatutnya menjadi sejuk tiba-tiba kurasakan membakar tubuhku.

“Berundurlah Cinta. Berundur..,” katanya.

“Maksud awak?” soalku tidak mengerti. Bukankah aku sudah berundur?
“Kau tak bererti apa-apa buat aku Cinta,” katanya lagi. Kali ini lebih menikam kalbu.

Aku memandang Dafi. Ini peluangku. Untuk bertanya meski ku tahu jawapannya.

“Tak pernah wujudkah cinta kau untuk aku?” soalku.

Dafi diam. Setengah minit kemudian, dia perlahan-lahan menggelengkan kepala. “Tak.”

Aku mengangguk.

“Cinta, kau yatim piatu. Bukan aku nak menghina, tapi…,” Dafi terhenti.

“Tapi apa Dafi?” tanyaku.

“Emm…. belum tentu kau keturunan baik-baik.” Setitis air mata menitis. Terima kasih atas penghinaan kau Dafi. Terima kasih.

“Lepaskan kami dan biarkan aku dan Erika hidup bahagia. Tolonglah Cinta. Tolonglah.” Pertama kali aku melihat seorang lelaki merayu kepadaku.

Aku menangis. Tiba-tiba saja. Aku tidak dapat menahannya lagi. Melihatkan seorang lelaki yang sangat aku cintai meminta aku ‘pergi’ melepaskan dirinya dan sang kekasih agar mereka dapat hidup bahagia. Seolah-olah aku ini wanita kejam yang sedang cuba menghancurkan hubungan mereka.

“Tolong Dafi.. tolong aku. Aku cintakan kau!” kini aku pula merayu kepadanya. Entah kemana kekuatan yang selama ini aku simpan. Aku terus-terusan menangis.

Tercengang Dafi melihat aku yang sebegitu rupa.

“Dafi.. aku hanya cintakan kau. Tak pernah wujud lelaki lain selain kau Dafi!” aku tunduk.

Dafi ketawa. “Kau dah gila Cinta!” marah Dafi.

“Aku tak sanggup lagi Dafi. Aku tak sanggup lepaskan kau untuk Erika. Malahan untuk sesiapa pun. Kalaulah nama kau dapat aku padamakan dengan liquid paper dalam hati aku ni.. dah lama aku lakukan. Tapi aku tak boleh Dafi! Tak boleh!”

Dafi berundur ke belakang. “Kau dah gila!” Wajah Dafi merah dan kelihatan sangat marah.

Aku diam. “Aku harap kau faham Dafi. Bagaimana kau mungkin cintakan Erika, aku mencintai kau lebih daripada tu.”

“Jangan harap kita dapat bersama! Jangan harap Cinta!” tengking Dafi.

“Aku tahu,” aku mengangguk. “Aku minta maaf. Berbahagialah kalian. Aku undur diri. Jangan cari aku dan jangan dekati aku. Kata-kata hinaan kau akan aku simpan.”

Aku terus membuka pintu kereta dan terus kereta itu ku pandu sejauh mungkin. Jauh. Jauh dari Dafi. Jauh dari segalanya. Baru aku tahu.. cinta pertama memang menyakitkan. Kenapa mesti aku jatuh cinta? Oh tidak….

Sejak aku bekerja di Syarikat Penerbangan ini, hari-hari aku terima bunga. Entahlah dari siapa. Sudah hampir 5 bulan aku disini, setiap pagi akan ada sejambak bunga di atas mejaku. Dan seminggu sekali, ada sahaja VCD cerita cinta yang diletakkan di atas meja ku. Entahlah kerja siapa yang suka membazir ini. Sudah bermacam cara aku cuba untuk mencari siapakah si pengirim gila ini. Dan setiap hari juga sebelum aku pulang aku akan meletakkan nota di atas mejaku.

‘Tolong jangan hantar bunga lagi. Dah naik muak tahu!’

‘Tak faham Bahasa Melayu ke?’

‘Awak ni silap orang kot. Berhentilah buat kerja gila yang membazir ini. Baik pergi buat amal jariah!’

‘ENCIK SENGAL YANG TAK FAHAM BAHASA MELAyU!’

Pernah juga aku memaksa ‘tukang hantar bunga’ itu memberitahu siapakah pengirim misteri ini tetapi tidak pernah berhasil pun. Dan yang paling gila adalah aku pernah meminta-minta pada si pengirim. Haha..

‘Bunga tak boleh makan wahai Encik Sengal. Bagilah strawberi cicah coklat ke.. takpun sejambak Ferraro Rocher!’

Dan esoknya bukan aku saja yang terkejut ‘Ultraman’ malahan seluruh kakitangan pejabat terkejut ‘Ultraman’ apabila di atas mejaku ada sejambak Ferraro Rocher. Gila betul mamat sengal ni. Aku tak berani makan Ferraro Rocher tu. Kalau dia ‘mandrem’ aku mampus. Huuhuu.. Ada lagi aku simpan dalam peti ais. Masih elok sejambak. Ibu dan ayah pun asyik mengusik aku. Naik tuli telinga aku apabila ibu dan ayah asyik sangat menyebut Encik Sengal. Dah muak. Aku yang bagi nama tu, aku juga yang naik muak. Apakah??

Masuk bulan ke enam, aku rasa macam nak berhenti kerja sebab tension dengan kehadiran barang-barang dari Encik Sengal. Tetapi mengenangkan kerja ini ayah yang carikan, jadi aku batalkan niat itu lalu aku menulis satu nota untuk Encik Sengal.

‘Tolong jangan ganggu saya lagi. Saya dah tak larat nak bawak balik bunga hari-hari. Dah tak larat nak tengok VCD. Dah tak larat nak makan coklat dan tak larat nak simpan segala-bagai benda yang awak asyik hadiahkan. Kok ye pun kaya, tolonglah jangan asyik nak membazir. Fikir orang yang susah! Jangan riak dengan apa yang awak ada! Terima kasih!’

Dan hari-hari yang seterusnya, aku adalah orang yang paling menyesal. Tanpa sebarang kiriman dari Encik Sengal lagi, aku jadi rindu. Susah hati betul. Kenapa Encik Sengal ni? Marahkah? Hem.. salah aku jugak… aku kesal tapi aku tak mampu nak buat apa-apa. Ada juga pernah aku tinggalkan nota minta maaf tapi tidak pernah dibalasnya.

Sedikit sebanyak rinduku pada Encik Sengal terubat dengan menonton VCD cinta pemberiannya. Banyak juga VCD yang dia bagi. Ada cerita Full House kegemaranku. Dan paling aku suka, All About Eve. Dia ni peminat drama Korea ke? Aku jarang layan drama Korea ni. Tapi memandangkan semua VCD yang dia bagi semua drama Korea, aku pun layan jelah. Tambahan ibu pun ‘tumpang sekaki.’

“Cinta rindu Encik Sengal ye?” soal ibu suatu hari padaku.

Aku ketawa.

“Jangan pura-pura dengan ibu.”

Aku akhirnya mengangguk. Memang tak boleh ‘main tipu’ dengan ibu.

“Hari-hari, Cinta makan sebiji Ferraro Rocher tu, InsyaAllah bila dah habis nanti, Cinta akan bertemu dengan dia.”

Bulat mataku memandang ibuku. “Biar betul?”

Ibu mengangguk.

Setiap hari aku memakan sebiji Ferraro Rocher. Ada juga aku menyuruh ibu dan ayah membantu aku menghabiskannya. Kata ibu perkara itu tidak akan berhasil kalau bukan aku yang menghabiskannya. Aku pelik dengan sikap ibu. Tapi ibu cakap dia tidak mahu aku banyak soal. Kadang-kadang aku rasa macam nak habiskan semuanya dalam satu hari tapi ibu melarang keras. Haishooooo…

’91.. 92.. 93.. ,’ aku mengeluh.

“Dah berapa?” soal ayah padaku.

“93,” kataku lemah.

Aku berbaring di katil dan aku melihat ayah sedang melihat-lihat sticker Ferraro Rocher yang aku tampal pada cermin khas yang aku beli untuk melekatkan sticker itu bagi mengira hari bagi bertemu dengan Encik Sengal.

“Hem.. tak lama dah kan bang?” kata ibu yang baru masuk ke dalam bilikku.

“Tak sempat la ibu,” kataku pada ibu sambil menunjukkan pada beg yang sudah aku packing.

“Hari ke 100 kan?” soal ayah.

Aku mengangguk.

“Flight pagi ke petang?” soal ibu pula.

“Malam.”

“InsyaAllah sempat. Sebelum Maghrib mesti dia datang,” kata ibu cuba meyakinkanku.

Aku dihantar oleh syarikat untuk menjalani kursus selama sebulan di London. Arghh.. hari yang ke-100 pulak tu. Tidak! Tidak....!

Tiket dan passport di sebelah kanan aku genggam dengan kuat. Beg besarku aku tarik dengan menggunakan tangan kiri.

‘Ish.. memang sengal betul Encik Sengal ni. Penipu!’ marahku di dalam hati.

Aku berjalan pantas bagi melepaskan geram.

Tiba-tiba aku merasakan beg yang sedang aku tarik ditarik oleh seseorang. Dan bila aku menoleh untuk memarahi siapa yang sedang menganggu aku, segala apa yang ada di tangan kananku direntap pula.

“Jangan pergi!” kata jejaka itu.

‘Apakah??’ aku jadi hairan. ‘Eh.. macam aku kenal.’

“Kenapa jalan laju sangat? Boleh ke awak kejar flight tu?” soalnya dalam nada agak marah.

“Apa ni? Saya dah lambat ni!” marahku.

“Awak tak kenal saya?” tanya jejaka itu yang sedang tersengih menampakkan ‘gigi besi’nya.

“Nabil!” kataku penuh benci bercampur geram.

“Penat tahu kejar awak,” kata Nabil.

Nabil tiba-tiba mengoyak tiket kapal terbang. Buntang mataku memerhatikan perbuatannya. Mahu tak terkejut, ingat murah ke? And.. the most important, kapal terbang dah nak bergerak pun!

“Kau gila ke Nabil?”

“A’ah! Aku gilakan kau! Yang kau sibuk gilakan si Dafi tu buat apa?” marah Nabil.

Keningku berkerut. Aku kemudian ketawa. “Kau terlambat! Aku dah tak gilakan Dafi tapi aku kini gilakan Encik Sengal yang tak datang-datang. Cukuplah dengan lelaki! Aku nak pergi dari sini. Hati ni sakit kau tahu. Tak payahlah kau nak gantikan tempat Dafi kawan baik kau tu dengan Encik Sengal tu.”

“Ada aku cakap aku nak gantikan tempat dia orang?” soal Nabil.

Aku menggeleng. Termalu sendiri. Main serkap jarang. Padan muka aku!

“Nabil! Lepaslah!” aku meronta-ronta minta dilepaskan. Cukup kuat genggaman tangan Nabil padaku namun tidak dipedulikannya. “Kau tahu tak gara-gara perbuatan gila kau ni aku bakal dibuang kerja?” bentakku.

Nabil ketawa. “Nanti kau dapat kerja baru.”

Aku memandang Nabil yang sibuk menarikku agar mengekorinya. Tangan kanannya menarik tangan kiriku manakala tangan kirinya menarik beg besarku yang berwarna biru muda itu.

“Kerja apa?” soalku hairan.

“Be my wife!” katanya.

Melopong aku dibuatnya. Mamat ni memang dah gila! “Tak mau!” aku membentak.

“This is not a question,” kata Nabil selamba. Argh.. bertambah melopong aku dibuatnya.

Entah macamana, kini aku berada di hadapan rumahku. Dan kini, bagaikan dipukau, aku duduk diam di atas sofa di ruang tamu rumahku. Ibu dan ayah hanya tersenyum dari tadi.

Dan tidak lama kemudian keluarga Nabil tiba. Aku menggelabah.

“Sebenarnya dah lama keluarga kita saling kenal-mengenal. Cuma Dewi yang tak sedar. Auntie dan Uncle cepat-cepat merisik setelah dapat tahu Nabil sukakan Dewi. Auntie tak kisah tapi Auntie minta Nabil pikat Dewi dulu. Dan Auntie datang dulu pun untuk mengeratkan silaturrahim keluarga kita. Maafkan kami sekeluarga kalau Dewi rasa susah hati,” Auntie Sarah meminta maaf. Dia menggengam kedua-dua belah tanganku.

“Nabil anak tunggal kami. Kami mahu dia dapat yang terbaik. Tak salahkan Dewi?” soal Uncle Fuad pula.

Aku hanya tersengih. Aku menjadi semakin tidak keruan apabila semua mata memandang ke arah ku.

“Ibu dan ayah takkan paksa Cinta. Buatlah keputusan ye sayang,” kata ibu.

Kata ayah pula. “Cuma ayah harap Cinta takkan menghampakan keluarga kedua-dua belah pihak.”

“Dewi Cinta, maaf atas semua kekasaran dan perbuatan saya yang selama ini mengganggu kehidupan awak. Sudi tak awak temankan saya sepanjang hidup ni?”

Nabil melamarku? Hah! Biar betul? Macam nak gelak pun ada ni. Macam nak menangis pun ada ni. Terharunya. Di tangannya ada seutas rantai emas putih dan loket jed berbentuk hati berwarna hijau.

“Hati jed?” soalku padanya.

Nabil mengangguk.

“Mana awak dapat?” soalku lagi. Bukan mudah untuk mencari ‘hati jed’.

“Beijing!”

Ternganga aku mendengar jawapannya.

“Tutup mulut tu, karang lalat masuk!” tegurnya membuatkan mukaku merah.

“Mana awak tahu saya suka jed?”

Nabil dilihat serba salah untuk menjawab soalan aku. Tidak lama kemudian dia akhirnya menjawab juga.

Tidak aku sangka dia membaca setiap muka surat diari ku yang di fotostat oleh Elisa. Termasuklah angan-anganku untuk memiliki ‘hati jed’.

“How much is it?” soalku.

“Banyak soal pulak Puan Sengal ni..,” Nabil dilihat seperti hilang sabar.

“Puan Sengal?”

Nabil mengangguk. “Yelah. Siapa lagi yang bakal isi jawatan Puan Sengal melainkan dirimu sayang..”

Hah! Memang banyak kejutan. Aku bakal Puan Sengal. Hampir luruh jantungku mengetahui Nabil adalah Encik Sengal. Aku ketawa sehingga membuat ibu, ayah, Auntie Sarah dan Uncle Fuad yang sedang berbual di dalam rumah keluar untuk meninjau keadaan kami. Tergeleng-geleng kepala mereka mengetahui perkara sebenar. Kemudian mereka meninggalkan kami semula. ‘Sporting’ habislah mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik zaman sekarang ni!

“Nak tak jadi Puan Sengal?” Nabil bertanya. Berbalik kepada persoalan yang masih belum berjawab.

“Tolong bagi nama elok-elok sikit.”

“Erm.. Cik Dewi Cinta binti Muhammad Afnan.. Sudi tak awak jadi Dewi Cinta di hati saya merangkap isteri dan suri rumahtangga sepenuh masa kepada Tuan Nabil Azzam Tuan Ahmad Fuad?”

Aku akhirnya mengangguk. Penat betul main tarik tali. I want to end this shortstory!

“Yes!! Thanks sayang. I love you!” Nabil menjerit girang. Aku hanya tergelak melihat telatah bakal suamiku yang keanak-anakkan.

Dafi kini bahagia dengan Erika dan Elisa masih belum bertemu jodoh. Cuma yang sedihnya. Kebahagiaan yang Erika kecapi sebenarnya berkongsi dengan insan lain. Erika terpaksa bermadu dengan Neesa. Ainatul Neesa. Aku tak kenal tapi tahu nama aje. Siapa lagi punya angkara yang bawa mulut bercerita kalau bukan bakal suamiku yang kini sah menjadi suamiku.

Pada hari perkahwinanku, mereka ada datang membawa anak mereka yang berusia 2 bulan setengah. Comel betul. Hubungan kami kembali baik seperti dahulu. Dan kata Erika, madunya itu seorang yang baik hati. Sudah jodoh Dafi dengan Neesa, Erika tidak mahu menghalang. Aku bersimpati padanya. Iyalah.. wanita mana mahu berkongsi kasih-sayang. Walaupun di mulut cakap terima tapi di hati belum tentu.

Awal-awal lagi aku dah ‘warning’ Nabil. Dan Nabil pula mentertawakan aku. Katanya, kalau aku kahwin dengan Dafi dulu, alamatnya dapat madu la aku. Bukan main dia gelakkan aku. Sengal punya suami!

Nabil suami yang baik. Walaupun ‘comel’, tetapi dia sangat matang. Cuma sikapnya yang kuat menyakat itu masih tidak dapat dibuang.

Jika dulu dia akan memberikan bunga kepadaku tetapi kini, setiap kali pulang dari kerja, dia akan membelikan kuih-muih. Tidak pernah dia pulang dengan tangan kosong. Ada-ada saja kuih yang dibelikan untuk aku. Bertambah berat la badan aku dapat suami yang suka bagi aku makan ni. Dia sering mengingatkan aku bahawa dia tidak kisah aku berat ke apa ke, yang penting dia mahu aku sentiasa bahagia di sampingnya.

Sejak berkahwin, aku berhenti kerja. Mahunya tak berhenti, bising mulutnya menyuruh aku menghantar surat perletakkan jawatan. Dia mahu aku menjaganya di rumah. Menyediakan makan minum serta pakaiannya. Orang gaji?? Oh! Tidak sama sekali. Aku tidak sanggup antara kami ada ‘orang gaji.’ Cukuplah orang gaji di rumah keluarganya, aku mahu menjadi seperti ibu yang menghabiskan seluruh hidupnya untuk keluarga. Itu yang aku inginkan. Sebagai ganjaran berhenti kerja, aku mendapat sebuah mesin jahit. Yay! Aku sekarang boleh buat baju sendiri.

Anak? Hehe.. belum rezeki lagi barangkali. Namun aku sentiasa berdoa agar mendapat anak yang soleh dan solehah. Jantina anak aku tidak kisah. Begitu juga Nabil. Kami cuma ingin semuanya baik-baik saja.

Aku membelek-belek cermin yang telah penuh aku lekatkan dengan sticker Ferraro Rocher. Seratus Ferraro Rocher yang telah menjadi perantara kami dan aku bersyukur kepada-Nya kerana mengurniakan lelaki yang sangat penyayang ini kepadaku…

2 comments:

  1. thanks dayah sudi mnjd pembaca.
    rajin2 semak2 la cerpen2 aku yg lama kt bwh2 ni ek.thanks~

    ReplyDelete