Tuesday, November 16, 2010

CINTAKU_

Aku melihat dengan penuh kesabaran. Apa yang aku saksikan kini memang sangat menyakitkan hatiku ini. Tapi aku harus menghadapinya dengan tabah.

Aku masih ingat pesan mama, walau apapun dugaan dan cabaran yang hadir dalam hidup kita, semuanya adalah ujian dari Allah s.w.t, jadi kita harus menempuhnya dengan sabar meskipun kita merasakan kita sangat lemah untuk menghadapinya. Mama berpesan agar selalu berdoa kepada Allah untuk memudahkan perjalanan kita di atas muka bumiNya ini dan sentiasa memohon perlindungan daripadaNya.

Aku menahan kesakitan yang terasa di segenap tubuhku. Aku merasakan ada darah yang mengalir keluar tubuhku. Badanku semakin lemah rasanya tapi aku masih mampu membuka mata dan menyaksikan drama dihadapanku ini.

Dengan jelas aku melihat Ammar memangku Adelia. Aku tidak pasti apa yang terjadi kepada Adelia. Aku ingin bangun untuk melihat tapi rasanya tidak mampu langsung untuk aku bergerak.

Jelas dipendengaranku Ammar menjerit nama Adelia berulang kali. Riak kerisauan tergambar diwajahnya yang putih bersih itu. Aku pasti, dia takut kehilangan Adelia. Dia sangat mencintai Adelia. Aku sudah sedia maklum akan kenyataan itu. Kenyataan itulah yang terpaksa aku telan dalam hidupku hari demi hari.

Beberapa ketika kemudian, orang ramai mula berkerumun di sekeliling Ammar sehingga Ammar tidak kelihatan lagi. Aku memejamkan mata bagi mengurangkan rasa sakit yang menular di setiap inci tubuhku.

“Woi! Ada lagi satu mangsa kat sini!” tiba-tiba suara jeritan seseorang mengejutkan aku. Aku ingin membuka mata, tapi kali ini mataku seolah-olah tidak mampu diangkat lagi.

“Ya Allah. Teruknya..,” suara garau seorang lelaki jelas di pendengaranku.

“ Mengucap nak..,” suara garau itu menyuruh aku mengucap. Air hangat terasa mengalir dipipiku. Seolah-olah aku akan pergi tak lama lagi. Aku redha jika ini takdirku..

* * *

Puan Fauziah berdiri disisi katil anak gadisnya. Air matanya tidak berhenti mengalir sejak semalam lagi. Seakan tidak percaya di atas katil yang bercadar putih itu terbaring anaknya yang hampir tidak dia kenali.

Marissa, satu-satunya anak perempuan yang dia punyai sedang bertarung dengan maut. Sekiranya diizinkan oleh-Nya, ingin sekali Puan Fauziah menggantikan kesakitan anaknya itu kedalam tubuhnya. Air matanya mengalir lagi.

“Mama, sudahlah tu. Jangan menangis lagi. InsyaAllah kak Ris akan sembuh tak lama lagi. Mama baliklah berehat dulu. Lagipun kita tak boleh lama-lama dalam ICU ni,” Iqram yang sedari tadi menemani mamanya memujuk Puan Fauziah untuk beredar dari situ.

Iqram tidak mahu mamanya terlalu sedih. Dia bimbang sekiranya mamanya pula akan jatuh sakit. Cukuplah dia hampir kehilangan satu-satunya kakaknya, dia tidak mahu perkara sama terjadi kepada mamanya.

Ketika dimaklumkan kakaknya mendapat kecelakaan jalanraya, Iqram sedang mengikuti matapelajaran Kimia di kelasnya. Terkejut dengan berita itu dia bergegas meminta keizinan dari pihak sekolah untuk pulang awal. Laju saja dia menunggang scooter hadiah pemberian papanya.

Papa yang dihubunginya semalam amat terkejut dengan berita itu. Papanya, Kapten Ikmal sedang berada di Australia menjalankan tugasnya sebagai seorang juruterbang. Dia faham benar tugasan papanya.

“Puan, maafkan saya. Waktu untuk memeriksa pesakit telah tiba. Saya harap puan dapat keluar dulu. Lagipun puan sudah lama di dalam ni. Puan pergilah berehat,” suara seorang jururawat menegur Puan Fauziah mematikan lamunan kedua anak-beranak itu.

Puan Fauziah mengangguk dan melangkah keluar diikuti oleh Iqram. Jubah, topi serta kasut yang dikhaskan untuk pelawat yang masuk kedalam wad itu disangkutkan kembali di bahagian yang telah disediakan.

* * *

“Iqram! Macamana keadaan Kak Ris?” satu suara bertanya Iqram yang sedang tunduk merenung lantai hospital.

“Kak Mas! Terkejut Iq..”

“Maafkan akak. Mana kak Ris?” Mastura bertanya lagi. Risau benar dia dengan apa yang menimpa sahabat karibnya itu. Dia bergegas pulang dari Brunei apabila Iqram mengkhabarkan berita itu kepadanya.

“Kak Ris dalam ICU. Akak pergilah tengok..,” Iqram menundukkan wajahnya. Air mata yang bergenang di tubir matanya hampir gugur. Cuba ditahannya tapi air itu tetap mengalir. Dia tidak tahan lagi melihat keadaan kakaknya.

Mastura mengusap-usap belakang tubuh Iqram seolah memberi kekuatan. Dia sudah menganggap Iqram seperti adiknya. Dia tahu Iqram sangat menyayangi Marissa. Marissa dan Iqram sangat akrab.

* * *

Selepas melawat Marissa di ICU, Mastura terus ke wad biasa. Dia mencari bilik yang menempatkan seorang lagi sahabatnya, Adelia yang turut terlibat dalam kemalangan yang sama dengan Marissa.

Perlahan-lahan dia membuka pintu bilik yang tertera nama Nurul Adelia diluarnya.

Kelihatan mesra sekali Ammar menyuapkan makanan kedalam mulut Adelia. Bercintakah mereka? Habis Marissa?

Sampai hati Ammar, kenapa buat Marissa macam ni? Kasihan Marissa…dia sedang berlawan dengan maut, kekasih hatinya sedang membelai wanita lain dengan penuh kasih-sayang.

Hatinya wanitanya tersentuh dengan apa yang dilihatnya. Turut sama merasai apa yang selama ini dirasai oleh Marissa. Tidak jadi dia melangkah masuk. Dia keluar semula dengan perasaan sebak yang memenuhi dada. Kenapa sekejam itu Ammar? Kenapa keras sangat hati dia?

Iqram memberitahu bahawa Ammar hanya menjenguk Marissa sekali sahaja sepanjang dua minggu Marissa ditahan di wad. Pasti Iqram tidak tahu Marissa dan Iqram sedang bercinta. Jika Iqram tahu, pasti sudah lebam wajah Ammar dibuatnya. Mastura menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengeluh.

Marissa..kenapa kau sanggup menyakiti diri sendiri dengan menghambakan cinta kau pada lelaki seperti Ammar? Aku sudah tidak sanggup lihat kesengsaraan kau Marissa. Ammar lelaki yang tidak tahu menghargai kehadiranmu. Air mata mengalir lesu dipipinya. Teringat dia cerita Marissa suatu masa dulu.

Hari itu Marissa sangat gembira apabila Ammar menelefon dan mengajaknya keluar. Marissa menjerit keriangan. Tapi apabila pulang, dia melihat ada air jernih yang bertakung di kelopak mata Marissa.

Marissa kecewa. Apa yang dilakukan oleh Ammar sangat kejam. Rupanya Ammar bukan hanya mengajaknya keluar berdua tetapi bertiga dengan Adelia. Adelia dilayannya dengan begitu mesra.

Ketika ingin melintas jalan, Ammar memegang tangan Adelia bukan dirinya. Apabila pelayan datang untuk mengambil pesanan, Ammar hanya bertanya Adelia tapi tidak mempedulikan Marissa. Semasa di dalam pawagam, Adelia yang duduk bersebelahan dengan Ammar kelihatan mesra dengan Ammar sedangkan Marissa keseorangan menonton filem itu.

Hatinya sangat terluka. Macam-macam yang dibelikan oleh Ammar untuk Adelia. Dirinya betul-betul terasa dipinggirkan malam itu. Marissa menangis semahu-mahunya dia bahu Mastura.

* * *

“Akak! Akak tak boleh selemah ini. Akak kena bangun! Siapa yang nak temankan Iq kalau akak tak ada? Akak! Bangunlah! Bangun Iq kata!!” Iqram menggoncang-goncangkan bahu Marissa.

Dia sangat takut kehilangan Marissa. Tadi dia bermimpi bahawa Marissa telah pergi meninggalkan mereka semua. Dia terjaga apabila jam tangannya berbunyi.

“Akak!! Iq benci akak kalau akak tak nak bangun sekarang! Macamana Iq nak hidup tanpa akak??!! Bangunlah akak! Bangun cepat! Iq janji Iq takkan nakal-nakal lagi. Iq akan dengar cakap akak! Akak!! Bangun!!” Iqram menjerit lagi. Dia semakin hilang sabar apabila tubuh dihadapannya itu tidak bergerak.

“Iqram! Apa Iq buat ni?” Ammar yang muncul dari luar bilik segera mendekati Iqram dan menarik tubuh itu agar menjauhi Marissa.

“Iq nak kejutkan akak! Abang Am jangan kacau!” Iqram menolak tubuh Ammar.

Kapten Ikmal dan Puan Fauziah yang muncul dimuka pintu terkejut dengan perlakuan Iqram.

Encik Iqram meluru mendapatkan anak lelakinya itu. Tenaga tuanya tidak dapat melawan tenaga muda Iqram. Ammar pantas membantu.

“Iq! Kenapa ni hah?” Puan Fauziah meninggikan suara kepada Iqram yang dilihatnya begitu liar.

“Iq nak akak bangun mama! Iq tak sanggup lagi tengok akak terbaring macam ni! Kalau akak terus macam ni mamcamana Iq nak ambil SPM? Akak! Bangunlah!” Iqram menjerit kearah Marissa yang hanya kaku di pembaringan.

“Iq..kak Marissa sakit. Bukan dia sengaja tak nak bangun. Iq tak boleh macam ni. Iq kena tabah,” Kapten Ikmal yang sedari tadi hanya berdiam diri, menasihati Iqram dan mengusap lembut kepala Iqram.

“Iq tak nak akak macam ni mama, papa. Kenapa akak buat Iq macam ni? Dah sebulan akak macam ni. Akak tak nak bangun ke tengok Iq ni? Iq dah tak nakal macam dulu lagi mama. Iq hari-hari cakap dengan akak tapi akak buat tak tahu je. Bila Iq tanya soalan matematik kat akak, akak tak nak jawab. Akak diam dan buat tak tahu je mama..,” Iqram mengesat air matanya yang mengalir. Betapa hatinya sangat sedih.

“Astaghfirullah..mengucap Iq..mengucap..,” Puan Fauziah mendekati anak lelakinya yang terduduk dilantai itu dan menggenggam erat tangan itu.

Sejak Marissa tidak sedarkan sebulan yang lalu, Iqram seringkali ponteng sekolah. Dia dan suaminya masih dapat menerima kenyataan keadaan Marissa. Rupanya tidak bagi Iqram, dia rupanya tertekan sekali. Lihat sajalah keadannya sekarang. Badannya susut. Dia banyak menghabiskan masanya di hospital bagi menemani Marissa.

Tidak pernah Iqram dilihat sebegitu. Iqram seorang yang ceria dan periang. Dialah yang memeriahkan rumah mereka. Meskipun Iqram agak nakal namun belum pernah pun perbuatan anaknya itu menyakiti hatinya. Hancur luluh hatinya melihat Iqram. Kelihatan dia tertekan sekali.

“Iq sayangkan akak.” Iqram menyeka air mata yang mengalir dengan lengannya. “Akak mana boleh tinggalkan kita, mama. Papa, tolonglah kejutkan akak. Iq dah tak larat nak tunggu akak kat hospital. Iq nak akak balik rumah. Iq dah make-up kan laptop akak. Iq tahu akak mesti suka, akak kenalah bangun dan tengok. Papa, kejutkan akak papa. Mama, akak takkan mati lagi kan? Akak..tolonglah bangun..Iq merayu kepada akak. Iq merayu akak. Kalau akak bangun, Iq akan buat apa saja untuk akak. Iq nak ajak akak pergi Paris sebab Iq dah menang peraduan yang akak suruh Iq masuk tu. Ada empat tiket. Kalau akak tak bangun Iq nak bawak siapa selain mama dan papa? Akak..bangun ye akak. Iq akan tunggu sampai akak bangun,” Iqram berkata sambil memandang muka Marissa. Diusap-usap tangan kakaknya dengan penuh kasih-sayang.

Puan Fauziah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia meluru kedalam pelukan suaminya dan menangis teresak-esak disitu. Kapten Ikmal turut mengalirkan air mata melihat keadaan Iqraml. Hati lelakinya terusik. Betapa dalamnya kasih Iqram terhadap Marissa.

Ammar yang turut berada disitu menahan perasaannya. Dia tidak mahu menangis disitu. Dia ingin menjadi lelaki kuat dan menyalurkan semangatnya untuk Iqram. Pertama kali dia melihat seorang lelaki menangis sebegitu, hatinya jadi terlalu lemah. Dia hanya diam di satu sudut sambil cuba meniupkan kembali semangat yang hilang kedalam jiwanya.

Marissa dipandang sayu. Hatinya turut tersentuh melihat keadaan Marissa sebegitu. Betulkan aku ni kekasih Marissa? Dia sendiri keliru dengan status dirinya terhadap Marissa. Marissa masih milik aku ke? Kenapa aku tak jaga Marissa? Kenapa Adelia jugak yang aku risaukan sedangkan aku milik Marissa?

Perlahan-lahan dia merapati Iqram dan memegang bahu Iqram. Iqram tidak menoleh. Dia hanya mahu melihat wajah kakaknya. Menunggu dengan penuh harapan agar mata itu terbuka.

“Iqram..,” Ammar memanggil. Tiada jawapan daripada Iqram. “Iq kena tabah. Iq tak boleh macam ni. Kak Ris mesti sedih sangat kalau tengok keadaan Iq macam ni. Abang Am yakin kak Ris akan sedar. Bagi dia masa untuk berehat Iq. Mungkin dia terlalu penat dan memerlukan masa seketika untuk berehat. Iq kena faham. Iq kena banyak berdoa semoga kak Ris sembuh. Iq kena kuat seperti kak Ris. Iq tahu kan kak Ris seorang yang tabah? Kalau Iq mampu buat apa yang kak Ris harapkan, abang yakin, kak Ris tentu bangga dengan Iq. Cuma sekarang Iq kena kuatkan semangat. Tak lama lagi nak exam, Iq kena tumpukan perhatian. Kak Ris akan sembuh! Percaya pada abang, Iq!” Iqram menggenggam bahu Iqram dengan kuat dan memberi kata-kata semangat kepada Iqram. Dia juga mahu Marissa sembuh. Dia rindukan ketawa dan senyuman Marissa.

Iqram akhirnya berpaling kearah Ammar. Air matanya mengalir lagi. Begitu murah air matanya sejak Marissa terlantar sebegitu.

Ammar tersenyum kepada Iqram. Iqram tiba-tiba memeluknya. Ammar agak tergamam dengan perbuatan Iqram tetapi dia akhirnya megusap belakang Iqram perlahan-lahan. Iqram terlalu menyayangi Marissa.

* * *

“Marissa gerakkan jari!” Ammar menjerit tiba-tiba memberitahu ahli keluarga Marissa akan apa yang dilihatnya tadi.
Semua tumpuan beralih kepada Marissa. Ammar berlari pantas keluar memanggil doktor. Beberapa minit kemudian, Ammar muncul bersama doktor yang merawat Marissa, Doktor Farhan.

Selesai tugasanya, Doktor Farhan keluar setelah mengkhabarkan berita gembira itu kepada ahli keluarga Marissa. Marissa telah sedar dan sudah mampu membuka matanya. Cuma dia masih gagal untuk berbicara. Suaranya kedengaran sangat lemah dan sukar difahami. Puan Fauziah membasahkan bibir Marissa dengan dengan air. Dia mengikut saja arahan yang diberikan oleh jururawat yang bertugas.

Di sebelah kiri Marissa kelihatan Iqram begitu gembira. Iqram menggenggam tangan kiri Marissa. Ammar dibelakang Iqram tersenyum. Hatinya sedikit lega melihat Marissa telah sedar.

* * *

Hari ni Marissa telah dibenarkan pulang setelah hampir 2 bulan lebih dia dimasukkan ke hospital. Mastura dan ahli keluarganya yang lain datang menjemputnya.

“Mas.. Ammar mana?” Marissa bertanya setelah mama dan papanya keluar untuk menguruskan bil hospital dan Iqram pula pergi ke tandas.

Mastura yang sedang mengemas baju Marissa, menoleh. Wajah pucat Marissa dipandangnya. Dia mendekati Marissa dan memegang tangan Marissa. “Kau rindukan Ammar?”

Marissa tunduk. Tidak lama kemudian dia mengangguk. Dia yakin Ammar tidak pernah peduli pada rasa rindunya. Dia sedar dia hanya mampu mengikut rentak Ammar.

“Ammar sibuk dengan kerjanya kot,” Mastura cuba menipu.

Marissa mengangguk faham. Faham benar dengan kesibukan Ammar sebagai seorang arkitek.

Setelah semua urusan selesai, Marissa dibawa pulang. Tiba saja dirumah, Iqram begitu teruja menunjukkan hadiah percutian keluarga yang dimenanginya. Kemudian Iqram menunjukkan laptop Marissa yang telah di make-up. Marissa sangat menyukainya.

“Thanks Iq. Cantik! Akak suka sangat,” Marissa membelek-belek permukaan laptopnya. Iqram memeluknya erat dengan tiba-tiba.

“Iq sayang akak! Jangan buat Iq macam ni lagi..”

Marissa tersenyum. Faham benar perengai Iqram yang takut kehilangannya. Mama telah menceritakan segalanya yang terjadi. Terharu juga dia dengan kasih-sayang Iqram. Kepala Iqram diusapnya lembut.

“Akak takkan tinggalkan Iq lagi. Akak janji. Akak minta maaf ye Iq.”

Iqram tidak mempedulikan kata-kata Marissa. Gadis itu tetap dipeluknya dengan erat. Dia ingin melepaskan rindu yang bertamu. Puan Fauziah, Kapten Ikmal dan Mastura hanya menggeleng kepala melihat telatah Iqram yang semakin manja dengan Marissa.

* * *

“Eh Ammar! Awak buat apa kat sini?” Marissa menegur setelah melihat Ammar sedang duduk di balai ketibaan.

“Eh! Ris.. Em…saya tunggu..,” Ammar tidak tahu samada dia patut meneruskan kata-katanya.

Marissa tersenyum dan mengangguk faham. “Tunggu Adelia kan?”

Ammar mengangguk. Marissa dilihatnya masih tersenyum seperti tadi.

“Ris minta diri dulu. Ada hal nak diuruskan,” Marissa membelakangi Ammar. Dia perlu memeriksa jadual penerbangannya untuk minggu depan. Minggu depan dia akan mula bertugas kembali. Tugasnya sebagai pramugari untuk Malaysia Airlines bermula tiga tahun lepas lagi.

“Ris!” Ammar memanggil.

Marissa menoleh apabila mendengar namanya dipanggil oleh Ammar. “Ada apa?”

“Bila Ris keluar hospital?”

“Minggu lepas,” Marissa menjawab ringkas dan perlahan. Dia sebenarnya terasa hati kerana Ammar tidak datang melawatnya di hospital. Cuba ditahan rasa hatinya. Setiap kali melihat wajah itu, hatinya berasa pilu.

“Ris..tentang kita. Am rasa kita..,”

“Am!” Kata-kata Ammar terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Serentak mereka berdua menoleh pada suara itu. Adelia sedang melambai-lambai kearahnya.

Marissa cepat-cepat menghilangkan diri. Dengan pantas dia melangkah pergi. Dia tidak mahu melihat lagi kemesraan antara mereka. Hatinya seperti disiat-siat.

Ammar menoleh kearah Marissa. ‘Eh! Mana Marissa?’ Hatinya tertanya-tanya. Sekelip mata saja Marissa telah hilang. Dia tahu Marissa sedang kesedihan. Tetapi dia tidak tahu kenapa dia tidak memujuk Marissa.

* * *

“Am tak tahu apa status hubungan kita sekarang Ris,” Ammar berkata kepada Marissa yang sedari tadi dilihatnya asyik tunduk.

“Ris.. Am rasa kita..” Ammar menelan liurnya. Seperti tidak sanggup meneruskan kata-kata itu tapi dia harus menyelesaikan perkara itu malam ini juga. Dia tidak mahu Marissa ternanti-nanti lagi. “Am rasa kita patut putuskan hubungan ni.”

Marissa mengangguk. Hatinya berdarah. Dapat dirasa seperti ada sesuatu yang sedang mencucuk-cucuk tangkai hatinya.

“Ris! Dengar tak apa yang Am cakap ni?” Ammar meninggikan suaranya. Dia geram apabila Marissa hanya mengangguk dan tidak berkata apa-apa.

Marissa akhirnya mengangkat wajahnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya bagi mengumpul kekuatan.

“Am.. buatlah apa saja yang Am rasa Am nak buat. Kalau Am rasa itu yang terbaik dalam hubungan kita, Ris ikut aje. Lagipun, selama kita menjadi kekasih, Am dan Ris tak pernah bertindak sebagai kekasih pun. Am lebih cintakan Adelia.”

Ammar memandang wajah bujur sirih didepannya. Gadis itu dilihatnya sedang menahan kesedihan. Tapi entah kenapa hatinya tidak ada disitu. Dia terlalu mencintai Nurul Adelia. Dia tidak tahu kenapa dia tidak boleh menerima Marissa diadalam hidupnya sedangkan dia lihat Marissa bersungguh-sungguh mencintainya.

Gadis didepannya ini ringkas saja. Tidak seperti Adelia yang tebal dengan solekan. Walaupun seorang pramugari, tapi Marissa tidak seperti pramugari lain. Adat resam orang Melayu masih tersemat di dalam dirinya. Tutur katanya juga sopan dan Marissa tidak terlalu sosial.

Malam ini Marissa hanya mengenakan seluar jeans dan t-shirt putih berserta jaket kulit berwarna hitam yang mengikut tubuhnya. Dibiarkan zip jaket itu tidak bertutup. Rambutnya yang lurus panjang melepasi bahu dan lurus semulajadi itu diikat tinggi. Cuma dengan sedikit sapuan bedak compact dan secalit lip balm, dia kelihatan cukup natural dan cantik.

Tapi hati Ammar tidak terusik untuk gadis itu. Dia tidak mampu mencintai Marissa meskipun sekian lama dia mencuba. Daripada terus menyakiti hati gadis itu, Ammar mengambil keputusan untuk menghentikan semua ini.

Dia tahu Marissa bakal terluka tapi ini yang terbaik. Dia pasti Marissa mampu menghadapiny kerana Marissa wanita paling tabah yang pernah dia kenali.

Tiba-tiba Marissa menolak kerusi dan bangun. Cepat-cepat Marissa beredar dari situ. Apabila tiba dihadapan keretanya, Marissa menangis semahu-mahunya.

Ammar yang mengekori dari belakang melihat sendiri tangisan Marissa. Keseorangan Marissa teresak-esak. Dia mendekati Marissa. Lama dia berdiri di situ memerhatikan Marissa.

“Ris..maafkan Am,” Ammar meminta maaf. Dia rasa bersalah atas perbuatannya.

“Am, tak adakah sedikit pun rasa cinta untuk Ris?” Marissa bertanya Ammar. Dia ingin kepastian.

Ammar menggeleng dengan payah sekali. “Am dah cuba tapi Am tak boleh. Am cintakan Adelia..”

Hati Marissa terguris mendengarkan nama itu. Lama terdiam akhirnya Marissa mendapat kekuatan untuk bersuara. “Am, kalau itulah keputusan Am, baik. Ris terima. Tapi, Am kena betul-betul dapatkan Adelia. Ris doakan kebahagiaan Am,” tenang saja kata-kata Marissa. Marissa membuka pintu keretanya.

“Ris..,” Ammar memanggil lembut. Marissa menahan gelodak perasaannya. “Maafkan Am atas semua perbuatan Am.”

Marissa menggeleng-gelengkan kepalanya. “Am tak bersalah. Ris yang bermain dengan api, jadi Ris yang terbakar.”

Ammar tersentak dengan kata-kata Marissa. Wajah itu basah dek air mata. Ammar ingin berkata lagi tapi Marissa sudah menutup pintu keretanya. Ammar hanya melihat kereta Viva Marissa meluncur pergi. Rasa simpati timbul dihatinya. Betapa dia telah menghancurkan hati Marissa.

Kini dia ingin memburu Nurul Adelia! Gadis yang telah lama dia idamkan. Dia cintakan Adelia. Dia yakin cintanya tidak bertepuk sebelah tangan. Adelia pasti menjadi miliknya.

* * *

Tiba saja dirumah, Marissa terus meluru masuk ke dalam biliknya dan menangis teresak-esak. Mukanya ditekupkan ke bantal. Habis basah bantalnya dengan air mata. Nasib baik mama, papa dan Iqram telah masuk tidur di bilik. Jika tidak bagaimana dia mahu berdepan dengan mereka semua.

Puas menangis, Marissa bangun. Dicapainya telefon bimbitnya. Gambar Ammar di padamkan dengan segera. Dia tidak mahu Ammar wujud lagi dalam hidupnya sebagai kekasih. Dia cuma inginkan Ammar sebagai sahabatnya. Dia akan cuba berhadapan dengan Ammar. Dia akan cuba kuatkan hatinya. Dia takkan lemah lagi.

Marissa teringat saat dia telah rasmi menjadi kekasih Ammar. Marissa bagaikan di awang-awangan biarpun dia tahu Ammar tidak ikhlas dan sekadar mencuba.

“Ris, Ris mahu jadi kekasih Am?” pertanyaan Ammar beberapa bulan lepas mengejutkan Marissa. Marissa seperti tidak percaya.

“Ris nak tak?” Ammar bertanya lagi.

Marissa mengangguk. Dia rasa bahagia.

“Ris, tapi Am bukan cintakan Ris. Ris tahukan siapa yang Am cintakan?” Marissa mengangguk. “Tapi Am nak cuba cintakan Ris. Bagi Am peluang Ris. Am akan cuba mencintai Ris macamana Ris mencintai Am. Tapi Ris kena ikut rentak Am, boleh?”

Marissa mengangkat kepala dan memandang Ammar dengan hairan. “Maksud Am?”

“Ris kena ikut Am. Kadang-kadang mungkin angin Am tak okey, Am mungkin tak dapat lupakan Adelia dalam masa yang singkat. Ris bagilah Am masa. Am perlahan-perlahan akan cuba lupakan Adelia. Ris kena sabar dan jangan cepat melatah dengan tindakan Am.”

Begitu besar permintaan Ammar. Sampai begitu sekali susahkah untuk dia memiliki Ammar? Kenapa Adelia terlalu keras untuk menerima cinta Ammar? Marissa tidak faham kenapa Ammar mengambilnya sebagai kekasih setelah ditolak cintanya oleh Adelia.

Marissa tidak mahu melihat Ammar sedih lagi, kerana itu dia menerima cinta Ammar. Dia bukanlah pengemis cinta, dia cuma terlalu mencintai Ammar. Dia cintakan Ammar bukan kerana Ammar punya segalanya yang diimpikan oleh seorang wanita, dia cintakan Ammar kerana perwatakan Ammar.

Ammar, seorang arkitek yang berkebolehan besar dalam bidangnya. Orangnya tinggi, berbadan tegap, berkulit cerah dan dia punyai tahi lalat kecil dibawah bibirnya sebelah kanan. Apabila tersenyum, jelas kelihatan lesung pipi dikedua-dua belah pipinya. Manis sekali. Itu yang membuat Marissa jatuh cinta. Matanya sepet saja. Apabila Ammar ketawa atau tersenyum, matanya akan mengecil. Marissa benar-benar cintakan Ammar, tambahan apabila mengenali lelaki itu melalui Kamal, seorang juruterbang yang agak baik dengannya dan juga merupakan sahabat Ammar.

Meskipun tidak pernah merasa perasaan bercinta apabila bersama dengan Ammar, Marissa tidak kisah. Yang penting baginya, dia ingin membahagiakan Ammar. Dia ingin Ammar seronok menikmati hari bersama dengannya.

Senyuman Ammar seringkali menjadi teman tidurnya. Hanya Mastura serta ibu bapa Ammar sahaja yang tahu mereka adalah pasangan kekasih. Adelia tidak tahu. Kerana itu, Adelia terus-terusan mendekati Ammar apabila Adelia putus cinta dengan Zarul.

Marissa dapat melihat dengan jelas sekali rasa cinta yang berputik di hati Ammar dan Adelia tapi Marissa diamkan saja. Dia takut Ammar mengungkapkan kata putus. Dia takut kehilangan Ammar. Dia berusaha mempertahankan perhubungan mereka. Kadang-kadang dia tertanya sendirian, bodohkah dia sehinggakan sanggup bersabar sebegitu? Tapi dia sangat cintakan Ammar dan tak sanggup kehilangan lelaki yang membuatkan dia jatuh cinta untuk pertama kalinya.

Tapi malam ini, usahanya selama ini sia-sia belaka. Ammar telah membuat keputusan dan Ammar takkan berpaling lagi. Marissa bangun menuju ke bilik air. Beberapa minit kemudian, Marissa keluar dan mencapai telekung. Dia membuat solat hajat. Marissa memohon agar Allah s.w.t melindunginya dan menguatkan hatinya dalam menempuh ujian ini. Usai solat hajat, Marissa mencapai kitab suci Al-Quran yang sentiasa diletakkan di meja sebelah kanan katilnya.

Perlahan-lahan dia membuka Al-Quran dan dengan khusyuk dia membaca ayat-ayat suci itu. Meskipun tidak mengerti maksud ayat-ayat itu, hatinya menjadi sebak, dia dapat merasakan ketenangan dan kekuatan. Air matanya mengalir lesu. Marissa mengelapnya dengan hujung telekungnya.

* * *

“Ris dapat tawaran tu?” Puan Fauziah menyoal kembali seperti tidak percaya apa yang dikhabarkan oleh Marissa.

Marissa mengangguk. Kapten Ikmal menarik Marissa kedalam pelukannya. Tidak disangka anak gadisnya itu mendapat peluang untuk bekerja dengan syarikat penerbangan Arab Emirates. Itulah impian Marissa selama ini. Dia sentiasa mendoakan kejayaan Marissa.

“Tahniah Marissa. Papa bangga dengan Ris.” Kapten Ikmal menguatkan lagi pelukannya.

Marissa tersentuh dengan pelukan papanya. “Terima kasih papa. Ris janji Ris akan kerja sungguh-sungguh.” Marissa membalas pelukan papanya. Air matanya mengalir dipipi.

Setelah papanya melepaskan pelukan, Marissa memeluk Puan Fauziah pula. Ternyata mamanya sangat gembira dengan tawaran itu. “Tahniah sayang. Tapi mama sedih, nanti Ris takkan boleh selalu ada kat rumah lagi. Ris takkan selalu dapat jejak bumi Malaysia lagi.”

Marissa memandang mamanya, Puan Fauziah sedang mengesat matanya yang berair.

“Mama, Ris akan balik jenguk mama kalau ada kelapangan. Ris janji mama. Mama tahukan impian Ris selama ni nak kerja dengan Arab Emirates? Ris minta restu mama dan papa..” Marissa tunduk mencium tangan Puan Fauziah.

Puan Fauziah memandang Kapten Ikmal. Kapten Ikmal mengangguk. Dia tidak mahu isterinya menghalang Marissa mencapai cita-citanya. Tidak lama kemudian Puan Fauziah mengangguk dan mengusap kepala Marissa. Tapi mereka terlupa..

“Akak nak tinggalkan Iq?” Iqmal yang baru pulang dari sekolah tercegat di hadapan mereka.

Marissa menoleh. “Iq!”

Hati Iqram sedih apabila mendapat tahu kakaknya dapat tawaran bekerja dengan Arab Emirates. Itu bererti Marissa perlu pergi jauh. Dia tidak sanggup berpisah dengan kakaknya lagi.

Marissa mendekati Iqram. Tangan Iqram disentuhnya lembut. “Akak bukannya akan pergi dan tak balik-balik. Akak pergi bekerja Iq. Akak nak kumpul pengalaman dengan syarikat penerbangan luar. Akak takkan selama-lamannya hanya bekerja untuk Malaysia Airlines. Akak nak capai impian akak, akak harap Iq faham.”

“Pergilah. Iq tak kisah,” Iqram melepaskan tangan Marissa dari tangannya dan berjalan untuk ke tingkat atas. Dia tidak sanggup berdepan dengan Marissa lagi. Kakaknya sekali lagi akan meninggalkannya.

“Iq. Jangan macam ni..,” Marissa menarik tangan Iqram.

“Iq sayangkan akak!” Iqram memeluk Marissa. Marissa tergamam. Kemudian Marissa tersenyum. Faham benar dengan perlakuan Iqram. Iqram tidak ingin berjauhan terlalu lama dengannya. Semasa bekerja dengan Malaysia Airlines, Marissa dapat selalu berada dirumahnya. Tapi apabila bekerja dengan syarikat penerbangan luar negara, masanya akan banyak dihabiskan di sana. Hatinya turut sedih mendengar tangisan Iqram.

Perlahan-lahan dia mengusap belakang Iqram. Dia memujuk Iqram dan akhirnya tanpa siapa sangka Iqram mengangguk merestui pemergian Marissa. Kapten Ikmal dan Puan Fauziah menggeleng-gelengkan kepala melihat Marissa dan Iqram.

* * *

Marissa melihat pemandangan diluar tingkap. Kelihatan semakin jauh dia meninggalkan bumi Malaysia. Dua hari lagi dia akan mula bertugas dengan Arab Emirates. Tidak sabar rasanya.

Tiba-tiba hatinya sedih mengingati saat perpisahan bersama keluarganya sebentar tadi. Iqram dilihatnya cuba menahan air mata dari gugur. Dia kagum dengan Iqram. Kini Iqram semakin dapat mengawal perasaannya. Air matanya tidak mudah tumpah lagi. Ahli keluarganya yang lain juga begitu. Dia mendapat restu mereka semua. Mastura yang menghantarnya tadi walaupun bersedih tetapi tetap merestui pemergiannya.

Ammar tidak tahu tentang pemergiannya. Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan pemuda itu. Dia tahu Ammar semakin sibuk dengan tugasnya dan juga Adelia. Dia bukan siapa-siapa dihati Ammar, jadi baginya tidak perlulah Ammar mengetahui berita ini.

Fikirannya melayang kepada peristiwa ketika dia kemalangan. Ketika itu Ammar menghentikan kereta diseberang jalan, dia dan Adelia turun untuk membeli barang di kuih-muih diseberang jalan. Kereta yang banyak membuatkan mereka sukar untuk melintas.

Tiba-tiba ada sebuah kereta yang kelihatan hilang kawalan merempuh mereka berdua. Dia tidak ingat bagaimana cara kereta itu merempuh mereka berdua. Yang masih dia ingat, kereta itu berwarna putih dan dia ternampak Adelia tercampak ketengah jalan sementara dia rasanya seperti tercampak ke dalam semak.

Dia teringat lagi bagaimana sakitnya seluruh badannya ketika itu. Apabila dia membuka matanya, Ammar yang diharapkan berada disisinya rupanya sedang memangku Adelia. Bertambah kesakitan yang dirasakannya saat itu. Ammar kekasihnya, kenapa Adelia yang dia pentingkan? Oh..dia terlupa, Ammar mencintai Adelia melebihi dirinya.

Air mata Marissa gugur. Mastura memberitahunya, Ammar cuma menjenguknya beberapa kali sahaja sepanjang Marissa terlantar di hospital. Ammar lebih mementingkan Adelia. Sehinggalah Marissa sembuh, barulah dia berpeluang bertemu dengan Ammar. Kini, antara dia dan Ammar, tak ada apa-apa lagi. Marissa mendoakan yang terbaik buat Ammar. Dia berjanji tidak akan mengganggu percintaan Ammar dan Adelia. Dua hari lepas, dia mendengar berita Adelia akan bertunang, pasti lelaki itu adalah Ammar. Sampai hati Ammar tidak mengkhabarkan berita itu kepadanya. Mungkin Ammar tidak mahu dia terus terluka, jadi Ammar mendiamkan diri. Dia pasti Ammar sedang bahagia sekarang. Akhirnya bibirnya menguntum senyuman halus. Dia turut merasa bahagia apabila mengetahui insan yang dicintainya sedang bahagia.

* * *

Ammar mengejar Mastura yang sedang berjalan menhampiri balai berlepas. Mastura gadis tinggi lampai dan berkulit hitam manis itu kelihatan manis sekali dengan uniform kerjanya iaitu kebaya pendek berwarna hijau yang bercorak-corak. Jika dilihat dari belakang, gayanya tidak ubah persis seorang model. Ammar akui, Mastura agak cantik.

“Mastura!” Ammar memanggil Mastura. Mastura segera menoleh apabila mendengar namanya dipanggil.

“Am, kenapa?” Mastura bertanya hairan.

Ammar berhenti dihadapan Mastura dan tercungap-cungap mencari nafas. “Marissa mana? Aku nak jumpa dia. Dah lama aku tak jumpa dia”

“Marissa?” Mastura bertanya hairan. Kenapa Ammar mencari Marissa? “Dia kan dah dapat tawaran dengan Arab Emirates. Dia tak beritahu ke?”

Ammar terkejut. Ammar menggeleng kepalanya laju. “Dia tak beritahu pun. Bila dia pergi?”

“Minggu lepas,” Mastura menjawab pendek. Dia ingatkan Marissa telah memberitahu Ammar tentang pemergiannya. Rupanya Marissa sangat terluka dengan perbuatan Ammar mungkin sebab itu dia bertindak menjauhkan diri daripada Ammar memandangkan peluang yang ada di hadapan matanya.

“Astaghfirullah. Apa yang aku dah buat pada dia…,” Ammar terduduk di kerusi dan tertunduk kesal. Kunci kereta ditangannya digenggam kuat.

Mastura hairan dengan perlakuan Ammar. “Kau ni kenapa?”

“Mas, aku banyak bersalah pada Ris. Aku tahu dia sangat terluka dengan perbuatan aku. Bila Adelia buat macam ni kat aku, baru aku faham apa yang Ris rasakan. Sungguh sebelum ni aku tak tahu bagaimana rasanya disakiti.”

“Maksud kau? Bukan kau ke yang.. bertunang dengan Adelia?”

Ammar menggeleng. “Dia cuma main-main dengan aku Mas. Semalam dia bawa aku keluar dan kenalkan dengan Amin, tunangnya. Ya Allah..masa tu baru aku tersedar. Sakitnya hati aku hanya tuhan yang tahu. Selama ni aku cintakan dia tapi dia buat aku macam ni. Apa yang aku rasa ni, inilah yang Ris rasakan selama ini kan?” Ammar mengangkat kepala dan memandang Mastura yang masih berdiri disebelahnya.

Mastura melihat sekilas jam tangannya. Jam menunjukkan pukul 4 petang, dia msih punya waktu untuk berbual dengan Ammar. Dia melabuhkan punggung disisi Ammar. Sebelum berkata-kata, Mastura menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Am, aku harap kau betul-betul dah sedar. Tapi kau dah terlambat. Hati Marissa dah sangat terluka. Janganlah kau mainkan lagi perasaan dia Am. Aku tak sanggup tengok lagi Ris terluka. Kasihan dia Am, dia sanggup lakukan apa saja untuk buat kau gembira. Tapi kau tak pernah sedar, yang kau nampak cuma Adelia. Adelia yang tak tahu menghargai diri kau. Kenapa kau buat macam tu? Tahu tak betapa sakitnya hati Ris bila kau lebih pentingkan Adelia semasa mereka sama-sama terlibat dalam kemalangan dulu. Adelia yang tak seteruk mana tu kau berikan perhatian sedangkan Ris lebih layak diberi perhatian oleh kau sebab kau teman lelakinya. Aku pun tak faham apa yang cuba kau lakukan Am. Apa yang kau cuba cari dalam hidup ni Am? Tak cukupkah Ris yang berada disisi kau? Kenapa Adelia juga yang kau kejar?” Mastura melepaskan segalanya yang terbuku dihatinya selama ini.

Kalau Marissa tidak mahu berbuat begitu, biar dia saja yang berbuat begitu kerana selama ini dia berkongsi segalanya dengan Marissa. Dia sangat faham akan hati Marissa. Dia turut merasa setiap kesedihan dan kesengsaraan yang Marissa simpan.

Mengalir air mata Ammar mendengar semua itu daripada Mastura. Dia menyesal! Dia menyesal mencintai Adelia dan membirakan Marissa keseorangan menahan kesakitan. Dia sedar dia mencintai Marissa. Dia tidak dapat tidur lena sejak dia berpisah dengan Marissa. Dia seringkali terbayang wajah Marissa. Cuba diusir dan menafikan yang dia mencintai Marissa, tapi kini dia akui, dia mencintai Marissa. Kenyataan itu tak mampu ditepis lagi.

Ibunya, Datin Fatimah dan ayahnya, Dato’ Kahar juga sukakan Marissa melebihi Adelia, jadi dia seharusnya bersyukur kerana ibunya dapat menerima Marissa dengan baik. Tetapi apabila ibunya mahu meminang Marissa, kenapa dia menolak dan berkeras mahukan Adelia sebagai suri hidupnya walaupun ditentang keras oleh Dato’ Kahar yang tidak suka dengan kelakuan Adelia. Tidak tahu menghormati orang tua. Kenapa dia tidak memilih Marissa sebelum ini? Kenapa dia begitu bodoh melepaskan gadis sebaik Marissa.

Marissa mampu untuk membuat dia ketawa dan gembira tapi tidak apabila dengan Adelia. Rajukan Adelia membuatkan dia gelisah. Dia terpaksa membelikan Adelia barang yang mahal-mahal untuk memujuk Adelia tetapi dia tidak pernah memberikan apapun kepada Marissa meskipun Marissa lebih layak kerana Marissa adalah kekasihnya.

“Marissa…,” Ammar memangis. Dia tidak tahu bagaimana mahu mencari Marissa. Marissa bukan lagi berada dibumi Malaysia. “Aku rindukan dia Mas..”

Mastura tersenyum. Baguslah kalau Ammar benar-benar insaf. Pasti Marissa bahagia kalau dia tahu Ammar merinduinya dan pastinya dia akan memujuk Ammar yang sedang dalam keadaan sedih sekiranya dia masih disini. Tapi Marissa tidak tahu. Dia jauh dari sini. Dia tidak dapat melihat air mata kekesalan lelaki tercintanya.

“Sudahlah Am, tak guna kau kesalkan lagi perkara yang telah terjadi. Suatu hari nanti dia akan pulang ke Malaysia, kau tunggulah dia kalau kau betul-betul sayangkan dia. Aku yakin dia tak dapat lupakan kau sekelip mata,” Mastura bangun dan menepuk-nepuk bahu Ammar yang masih tertunduk. “Aku ada tugas ni. Kalau aku terjumpa dia aku akan sampaikan salam kau. Aku pergi dulu.”

Mastura bangun dan membawa langkahnya kedalam perut kapal terbang dengan hati yang berbunga riang. Dia pasti masih ada harapan untuk Ammar dan Marissa bersatu. Dia amat berharap Ammar dapat menjejaki Marissa.

* * *

“Macamana mama? Akak setuju ke?” Iqram bertanya Puan Fauziah yang baru meletakkan telefon di tempatnya.

Puan Fauziah tersenyum dan mengangguk. “Akak setuju. Dia akan pulang seminggu sebelum majlis pertunangan bulan depan.”

Iqram tersenyum. Seperti tidak percaya kakaknya akan bertunang dalam masa terdekat ni. “Akak tak tanya ke siapa bakal tunangnya?”

Puan Fauziah menggeleng. “Kak Ris cakap dia akan terima siapa saja yang mama pilih. Mama pun tak faham kenapa kak Ris buat macam tu. Tapi mama bersyukur, apapun mama percaya Ammar boleh membahagiakan kak Ris.”

“Iq pun fikir macam tu.” Iqram memeluk pinggang mamanya. Dia sungguh gembira. Puan Fauziah turut tersenyum mengenangkan anak gadisnya bakal menjadi tunangan orang bulan depan.

* * *

Majlis pertunangan akan diadakan petang ini. Rumah Puan Fauziah riuh dengan sanak-saudara yang sibuk membantu persiapan majlis pertunangan Marissa. Biliknya dikemas dan cadarnya ditukar kepada cadar berwarna merah jambu yang baru dibeli oleh mamanya. Marissa memandang sekeliling biliknya yang dipenuhi dengan bunga-bunga segar.

“Akak! Apa yang akak termenungkan tu?” Iqram menegur kakaknya yang dilihatnya asyik termenung.

Marissa menggeleng. “Tak ada apa-apalah Iq.”

Iqram mendekati Marissa. “Akak takut ek?” Iqram mencuit pinggang Marissa.

Marissa terkejut. Dia mencekak pinggang. “Muhammad Iqram!” matanya dijegilkan. Geram betul dengan Iqram.

Marissa mengejar Iqram yang sedang mengejeknya.

“Ya Allah..Marissa! Iqram!” Puan Fauziah mencekak pinggangnya. Kepalanya digeleng-gelengkan melihat telatah dua anaknya.

Iqram berlari memeluk mamanya dan mencium pipi Puan Fauziah sebelum berlari turun. Marissa berhenti di hadapan Puan Fauziah dan tercungap-cungap menahan penat.

“Dah nak jadi isteri orang pun terkejar-kejar lagi dengan si Iqram tu.”

Marissa tertawa. “Iq tu yang kenakan Ris.”

“Sudahlah. Hilang seri nanti,” Puan Fauziah mengusap-usap kedua-dua belah pipi Marissa menunjukkan kasih-sayang pada anaknya.

Marissa tersengih-sengih. Dia sebenarnya gementar. Tambahan pula dia tidak tahu siapa lelaki yang bakal menjadi tunangannya. Dia sendiri pun tidak mahu tahu kerana dia ingin redha dengan siapa saja yang dia bakal kahwini. Yang dia tahu, dia ingin lelaki itu mampu membahagiakannya. Dia pernah kecewa dengan Ammar dulu, jadi dia berharap sangat lelaki yang bakal hadir dalam hidupnya mampu membuatkannya melupakan Ammar terus dari hidupnya.

Selepas beberapa minit Puan Fauziah turun, Marissa mengikut ibunya turun. Dia kagum melihat hiasan dirumahnya. Disana sini dihiasi dengan bunga-bunga segar. Indah sekali, seolah-olah dia berada di taman bunga pun ada jugak. Bau kesegaran dihidunya. Hem...

Dia melangkah kedapur. Kelihatan mamanya dan saudara-maranya sibuk menyiapkan hidangan untuk petang ini. Mak Long Aisyah sebelum ini mencadangkan kepada mama agar mama membuat tempahan saja tetapi mama tidak mahu. Maklumlah, mama pakar dalam masakan, dia ingin semua orang merasa air tangannya. Tambahan pula di hari bahagia Marissa.

Banyak jugak hidangan yang disediakan oleh Puan Fauziah yang dibantu oleh saudara-mara dan jiran tetangganya.

“Marissa. Kenapa muka tak berseri ni?” Mak Long Aisyah mendekati Marissa dan membelek wajah itu.

“Tak cukup berseri ke ni Mak Long?” Marissa memegang wajahnya. “Penat tau Ris pergi cari bomoh siam nak naikkan seri muka ni. Tak berseri ke Mak Long?”

“Ish! Budak ni. Orang cakap betul-betul dia main-main pulak,” Mak Long Aisyah menjuihkan bibir. Geram dengan gelegat anak saudaranya yang kuat menyakat itu.

Marissa tersenyum. Sengaja dia mengusik Mak Long Aisyah. Pasti wanita itu geram dengannya. Marissa lantas memeluk pinggang Mak Long Aisyah. “Mana boleh Ris berseri daripada Mak Long. Nanti kalah la Mak Long. Hehe..” Marissa mengusik lagi.

Mak Long Aisyah mencubit pipi Marissa. “Nakal.”

Marissa ketawa lagi. Entah kenapa dia sangat gembira hari ini sedangkan dia tidak kenali lelaki yang bakal memiliki dirinya. Namun dia percaya dengan pilihan mama dan papanya. Dia yakin mereka akan memilih lelaki yang terbaik untuknya.

Walaupun dilarang keras untuk membantu didapur, Marissa tetap tidak berganjak. Dia membantu apa yang patut. Tidak sanggup dia melihat saudara-maranya bertungkus-lumus menyiapkan hidangan sedangkan dia sedap-sedap berehat di dalam bilik.

* * *

Mastura telah tiba dan membantu Marissa bersiap. Mastura telah dimaklumkan oleh Iqram bahawa Marissa belum tahu siapakah bakal tunangnya. Mastura gembira, akhirnya Ammar dan Marissa akan bersatu. Setelah sekian lama bersabar dengan sikap Ammar, Marissa akhirnya tanpa disedari bakal memiliki Ammar.

Marissa kelihatan manis sekali dengan baju kebaya berwarna merah jambu yang tersarung ditubuhnya. Tudung yang dipakainya menambahkan lagi keayuannya. Pasti ramai yang akan terpegun dengan keayunannya. Ammar bertuah kerana bakal memiliki Marissa. Dia hanya disolek nipis oleh Mak Long Aisyah. Mak Long Aisyah ingin mengekalkan wajah semulajadi anak saudaranya itu yang sememangnya cantik.

Rombongan meminang dari pihak lelaki telah tiba pada pukul 5 petang seperti yang dijanjikan. Dada Marissa semakin berdebar. Dia tidak tahu apa yang sedang dibincangkan oleh keluarganya dan keluarga pihak lelaki.

Tidak lama kemudian, orang ramai mula masuk kedalam biliknya. Biliknya yang luas dipenuhi dengan ramai orang. Cahaya kamera berkerlipan.

Iqram turut berada disitu, dia tidak mahu terlepas merakamkan detik bahagia kakaknya. Sambil memegang kamera jenama canon yang dihadiahkan oleh kakaknya yang berharga RM2800, Iqram tidak henti-henti mencari sudut yang menarik untuk merakamkan gambar Marissa. Kamera video milik papanya pula diberikan kepada Adam untuk merakamkan detik bersejarah itu.

Marissa tunduk. Dia takut untuk menganggkat wajahnya untuk memandang wanita yang akan menyarungkan cincin ke jari manisnya. Wanita itulah bakal ibu mertuanya sekiranya dia punya jodoh dengan lelaki yang bakal menjadi tunangnya nanti.

“Marissa..,” panggil wanita itu lembut. Marissa menganggkat wajahnya perlahan-lahan.

“Auntie!” Marissa terkejut. Aku bermimpikah? Takkan… Marissa seakan tidak percaya melihat Datin Fatimah berdiri dihadapannya dan bersedia untuk menyarungkan cincin ke jarinya.

Datin Fatimah tersenyum. Marissa amat terkejut.

“Ini ibu Am. Takkan kau tak kenal Ris,” Mastura membisik ditelinganya. Ya! Ini ibu Ammar. Dia yakin. Marissa bukannya nyanyuk lagi. Wanita itu merupakan ibu kepada bekas kekasihnya yang hanya satu itu. Mana mungkin dia melupakannya walaupun hanya baru beberapa kali bertemu dengan Datin Fatimah. Maknanya Ammar bakal suaminya? Dia seperti tidak percaya.

Seingatnya Ammar tidak mempunyai adik-beradik lain. Dia anak tunggal. Takkan kot. Bukankah Ammar bertunang dengan Adelia? Jangan-jangan dia nak buat aku jadi isteri nombor 2 dia. Biar betul Ammar ni!

Namun, huluran tangan Datin Fatimah tetap disambutnya. Cincin disarungkan. Marissa tunduk mencium tangan itu.

Kini, dia adalah milik Ammar. Meskipun bukan sepenuhnya dirinya milik Ammar, namun separuh daripada dirinya adalah milik Ammar. Dia adalah tunangan Ammar. Tiada orang boleh memiliki dirinya selama dia masih tunangan Ammar.

Majlis perkahwinan dijangka akan diadakan awal tahun depan. Marissa takut untuk berhadapan dengan Ammar. Dia tidak tahu kenapa Ammar memilih dirinya.

* * *

“Ris, Am cintakan Ris. Tolong jangan pergi lagi,” Ammar merayu kepada Marissa. Wajah lembut itu dipandangnya. Hatinya resah. Beberapa hari lagi Marissa akan berangkat semula menyambung tugasannya.

“Am, kenapa sanggup buat Ris macam ni? Ris tak nak jadi isteri nombor 2. Am lepaskan Ris boleh tak?” Marissa menyeka air matanya yang gugur.

Ammar tertawa kemudian dia menggelengkan kepalanya. Pasti Marissa telah salah faham.

“Tak nak! Ris tak nak jadi isteri nombor 2. Lepaskan Ris. Ris tak nak bermadu dengan Adelia,” teresak-esak Marissa menangis.

Ammar mendekati Marissa dan mengelap air mata Marissa. Hatinya sakit melihat Marissa menangis. Dia tidak mahu Marissa menangis lagi.

“Ris..dengar sini. Please sayang. No more crying. I love you. Only you. Am cintakan Ris! Ris seorang saja. Mana ada Adelia..sayang salah faham ni. Adelia bertunang dengan orang lain, bukannya Am. Adelia bukan siapa-siapa lagi dalam hidup Am. Am cintakan Ris! Sungguh! Am tak boleh hidup tanpa Ris. Sejak Ris pergi, Am macam orang gila. Tak boleh buat kerja. Am dah insaf Ris. Percayalah. Am janji Am akan bahagiakan Ris. Bagi Am peluang…” Ammar memegang tangan Marissa. Kemudian diciumnya tangan itu. Marissa membiarkannya. Dia pun sebenarnya rindukan Ammar.

“Am…,” Marissa memanggilnya lembut. Bergelora perasaan Ammar mendengar suara lembut Marissa.

“Ye sayang,” Ammar memandang kedalam mata Marissa. Cukuplah mata itu mengalirkan air mata. Kasihan Marissa kerana menunggunya selama ini. Mata itu dilihatnya cukup ikhlas. Tiada kebohongan dalam matanya.

“Ris takut Am buat macam dulu lagi. Ris tak sanggup. Cukuplah apa yang terjadi dulu. Am jangan ingat perkara ini main-main.”

“Tak! Am tak main-main. Am sungguh-sungguh. Am dah matang, Am dah sedar apa yang Am buat dulu. Am minta maaf. Please..jangan pergi lagi.”

Marissa menggeleng. “Ris maafkan Am tapi Ris tetap kena pergi sebab Ris kerja Am. Ini tugas Ris.”

“Habis tu kalau kita dah kahwin nanti Ris tetap akan pergi?”

Marissa mengangguk.

Ammar menggeleng. “Tak boleh! Lepas kahwin Ris kena duduk rumah. Am tak nak Ris kerja kat luar negara lagi. Am tak nak Ris terbang sana-sini lagi. Kalau nak kerja sangat pun, Ris kerja kat syarikat ayah Am.”

Marissa terkejut dengan kata-kata Ammar. “Mana boleh macam tu..”

Ammar menggeleng. “Please…”

Marissa menggaru kepalanya yang tidak gatal. Haru jugak macam ni. Takkan dia nak berhenti kerja sebagai pramugari. Tapi betul jugak, takkan dia nak tinggalkan suaminya seorang diri. Hem… dia teringat dulu sebelum dia bekerja sebagai pramugari, dia telah berjanji dengan dirinya bahawa dia akan berhenti kerja sebagai pramugari dan akan bekerja di airport saja sekiranya dia sudah berkahwin.

“Hem… tak bolehlah Ris tengok pilot-pilot yang handsome lagi nanti..,” Marissa memuncungkan mulutnya.

“Tak boleh! Lepas kahwin Ris boleh tengok Am je,” nada cemburu kedengaran dalam suara Ammar. Marissa tertawa. Dicubitnya pipi Ammar.

“Ris…,” Ammar memanggil Marissa lembut. Dia rindukan Marissa.

“Ya sayang..”

“Kita kahwin cepat!”

Marissa terpinga-pinga dengan kenyataan Ammar itu. Malam itu dia tidak dapat melelapkan matanya. Ammar memang gila betul. Dia nak cepatkan majlis pernikahan itu ke bulan depan. Puas Marissa memujuknya agar bersabar.

Marissa menggeleng-gelengkan kepalanya mengingati telatah Ammar. Dia kini dapat melihat keikhlasan Ammar dari matanya yang sepet itu.

Dia yakin akan bahagia dengan Ammar. Dia janji tak akan ada nama Adelia lagi antara mereka. Dia janji akan membahagiakan lelaki itu!

* * *

Ammar berbaring di katilnya. Hatinya berbunga riang. Dia dapat merasakan betapa dalamnya cintanya terhadap Marissa. Esok dia akan berbincang dengan ibu dan ayahnya. Dia akan meminta agar pernikahannya dan Marissa diadakan bulan hadapan. Dia takut Marissa berubah hati. Dia tidak sanggup kehilangan Marissa lagi.

Ammar sungguh mencintai wanita itu. Wanita yang telah banyak membahagiakannya sebelum ini.

Ammar mengeluarkan telefon bimbitnya. Di skrinnya terpapar jelas gambar tunangnya, Marissa binti Muhammad Ikmal.

Ammar tersenyum. Dia sangat bahagia. Dia berjanji akan membahagiakan Marissa!

‘Marissa! I love you!!!’

Pengajaran:

Dalam hidup ini, tuhan akan menguji kita untuk melihat samada kita tabah menghadapinya ataupun tidak. Sebagai seorang umat Islam, kita haruslah bersabar menghadapi ujianNya kerana dengan ujian itu kita akan menjadi lebih tabah.

Dalam soal cinta, jika kita bersabar, pasti kita akan dapat apa yang kita hajati.

Meskipun kita tidak dapat apa yang kita hajati, pasti kita akan dapat yang lebih daripada itu.

Kesabaran Marissa menanti dan mencintai Ammar dengan setulus hati akhirnya mendapat balasan yang baik. Ammar insaf. Meskipun Ammar banyak bersalah terhadap Marissa, tetapi Marissa tetap memaafkan Ammar, bukan hanya kerana dia mencintai Ammar tetapi wajarlah bagi setiap manusia itu memaafkan orang lain. Sedangkan nabi pun ampunkan umat, apalagi kita sebagai umatnya yang lemah.

No comments:

Post a Comment