Tuesday, January 18, 2011

STRAWBERI COKLAT DI CAMERON HIGHLAND

Stereng kereta dicengkam kuat. Berdecit bunyi tayar kereta memakan tar jalanraya. Brek tangan ditarik untuk mengelak dari terlanggar kereta di hadapan. Kereta Suzuki Swift berwarna kelabu itu berhenti mengejut.

Neesa Nuraliz memandang ke belakang. Mujurlah tiada kereta di belakang. Kalau tak… Astaghfirullah.. Apa yang telah terjadi ni? Kereta di hadapannya berhenti secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat. Seawal pagi Ahad ini tidak ramai orang yang keluar kerana bercuti. Biasanya jalan ini sibuk setiap hari bekerja. Nasibnya baik.

Sudah lama dia tidak menjejaki bandar Ipoh. Sejak tamat belajar di UiTM Seri Iskandar dan menyambung pelajaran di Shah Alam dan sekarang bekerja di Kuala Lumpur, dia tidak pernah turun ke Ipoh. Cuma hari ini dia ingin menghabiskan cuti tahunannya di Cameron Highland. Selain pulang ke kampung di Alor Star, dia ingin menghabiskan masa untuk dirinya sendiri. Menenangkan dirinya setelah dia putus tunang dengan Amal Restu, jejaka dari Indonesia.

Sepanjang perjalanan ke Cameron Highland, dia semakin berhati-hati kerana jalannya agak mencabar. Ini adalah kali kedua dia memandu sendirian ke Cameron Highland. Dulu semasa belajar di UiTM Seri Iskandar, pernah juga dia melarikan diri ke Cameron Highland gara-gara putus kasih. Kali ini juga gara-gara putus kasih. Dia tertawa sendirian. Dalam tawa, air mata turut mengalir. Neesa mengesatnya. Dia perlu kuat.

Neesa kini sudah berada di hadapan hotel yang telah dia tempah awal-awal lagi. Neesa turun dari keretanya dan menurunkan beg pakaiannya yang hanya satu itu. Selesai urusan check-in, Neesa terus menuju ke biliknya. Letihnya memandu dari Kuala Lumpur. Cutinya masih banyak. Dia ingin menghabiskan beberapa hari di Cameron Highland sebelum pulang ke kampung halaman.

Dia mahu memulihkan diri sendiri sebelum berhadapan dengan keluarga yang telah mengetahui berita perpisahannya dengan Amal Restu.

Seharian Neesa menghabiskan masanya di bilik. Tidak ada mood untuk keluar berjalan-jalan. Bukannya dia tidak biasa dengan Cameron Highland, malahan dia telah hafal semua jalan dan tempat-tempat menarik di sini. Dari kecil sehinggalah remaja, ayahnya seringkali membawa mereka melancong ke Cameron Highland.

Malam itu akhirnya Neesa keluar juga dari biliknya. Masih dia ingati akan pasar malam yang wajib dia kunjungi sekiranya datang ke tanah tinggi ini. Pasar malam yang berada di kawasan lapang di hadapan balai polis dan kem tentera itu wajib dikunjunginya. Dia masih tidak lupa akan hidangan istimewa yang dijual di gerai-gerai di pasar malam terbabit. Neesa berharap agar gerai-gerai yang menjual makanan kegemarannya masih ada lagi. Nanti kempunan pula dia untuk merasa makanan yang sudah lama tidak dia rasai itu.

Neesa membeli nasi goreng berempah kegemarannya dan juga kimchang serta cendawan goreng tepung. Dia mengambil tempat di sebuah gerai kecil yang disediakan di pasar malam itu. Teh tarik panas dipesan dan segera bungkusan nasi itu dibuka. Kecur liurnya melihat hidangan di hadapan matanya. Setelah kenyang, Neesa bangun dan membayar harga minumannya dan segera beredar. Ramai lagi pelanggan yang ingin duduk di situ.

Jam tangan dipandang sekilas. Baru pukul 9 malam. Malam masih muda. Dia sudah bosan ingin terperap di bilik sambil mengalirkan air mata. Neesa berjalan-jalan di pasar malam itu. Tiba-tiba dia melihat orang ramai berlari-lari kalut. Neesa jadi hairan. Dia melihat sekelilingnya. Semua orang kelihatan kelam-kabut seperti dikejar hantu.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Neesa mula kalut mencari tempat berteduh. Khemah-khemah di pasar malam telah dipenuhi orang. Neesa ternampak deretan kedai di tepi jalan. Segera dia berlari masuk ke bawah bumbung gerai tersebut yang tidak jauh darinya.

Tercungap-cungap Neesa mengambil nafas setelah penat berlari. Sweater merah yang dipakainya sudah separuh basah. Tudung hitam yang menutupi kepalanya turut basah tetapi tidaklah lencun.

Hujan semakin lebat. Guruh berdentum-dentum. Sudah 10 minit dia berdiri di situ. Masih tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Neesa semakin risau. Beberapa kedai sudah mula ditutup. Keadaan semakin lenggang.

Neesa ingin bergerak ke bahagian bawah sedikit memandangkan angin yang membawa hujan mengenainya. Sejuknya bukan kepalang. Tiba-tiba Neesa terlanggar seseorang. Hampir terjatuh dibuatnya. Mujurlah dia sempat berpaut pada tubuh yang telah melanggarnya. Tangan itu juga kuat mencengkam lengannya dan memegang belakangnya. Neesa cepat-cepat bangun apabila dia sudah dapat mengimbangi tubuhnya. Rasa malunya meluap-luap apabila melihat lelaki yang telah dilanggarnya dan menyelamatkannya tadi sedang memandangnya tajam.

“Nuraliz!” suara lelaki itu membuatkan Neesa mendongakkan kepalanya kembali. Dahinya berkerut cuba mengingati siapakah jejaka kacak di hadapannya ini.

“Neesa Nuraliz kan?” tanya jejaka itu lagi.

Neesa mengangguk perlahan. “Awak?”

“Nuraliz… tak sangka dapat jumpa awak lagi,” jejaka itu ketawa seronok. Wajah seiras Ashraf Muslim itu memerah. Ya! Hampir serupa dengan wajah Ashraf Muslim!

“Ashraf Muslim ke? Awak kenal saya?” Neesa terkejut. Setahunya, hanya dia yang mengenali aktor kegemarannya itu. Mana pula aktor itu mengenali dirinya.

Semakin kuat pula jejaka di hadapannya itu ketawa mendengar pertanyaan gadis yang pernah dia jatuh cinta suatu ketika dulu.

Neesa semakin geram melihat ‘Ashraf Muslim’ itu ketawa. Satu tamparan dihadiahkan di bahu kiri ‘Ashraf Muslim’.

Terdiam jejaka itu. “Okey..okey.. Nuraliz.. Awak tak kenal saya?”

“Kan saya dah kata.. Ashraf Muslim!” jawab Neesa.

“Bukanlah!”

“Habis?”

“Erm.. kejap!” jejaka itu mengeluarkan sesuatu dari dompetnya. “Ini. Ingat tak?”

Sekeping gambar bersaiz 3R itu kini beralih tangan. Neesa ingat! Ini gambar ketika dia mengikuti sebuah seminar Bahasa Inggeris suatu masa dulu. Masa itu dia sedang bercuti akhir tahun. Ibunya yang beria-ia mahu dia mengikuti seminar Bahasa Inggeris itu yang berlangsung selama beberapa hari itu sebagai persediaan untuk dia menghadapi PMR.

“Nuraliz...,” jejaka itu memanggil setelah melihat Neesa lama berdiam diri.

“Awak.. erm..,” Neesa masih tidak tahu. Tapi seperti kenal.

“Nuraliz, kalau awak tak ingat takpelah,” kata jejaka itu kecewa. Dia menarik gambar di tangan Neesa dan mula mengatur langkah.

“Adam! Adam Hadzriz!” Kini giliran Neesa ketawa.

Adam pantas menoleh. “Nuraliz..ingat pun awak! Dah lama saya cari awak. Ingatkan nak buat iklan kat TV dah..”

“Cari saya? Buat apa?” Neesa pelik memikirkan untuk apa Adam mencarinya.

Adam diam. Tidak mampu dia menjawab soalan itu. “Nuraliz, jom saya hantarkan awak balik!”

“Macamana?”

“Ber..,” kata-kata Adam terhenti apabila dia melihat hujan masih turun dengan lebatnya. Dia juga tidak punya payung.

“Duduk lepak sini dululah.” Adam mengambil tempat duduk di kaki lima kedai yang telah tutup itu. Neesa menuruti Adam. Sebenarnya kakinya agak lenguh juga setelah lama berdiri di situ.

“Awak buat apa kat sini Nuraliz?” soal Adam.

“Awak?” soal Neesa kembali.

“Saya tanya awak, awak tanya saya balik.”

“Tak nak jawab?”

“Okey..okey.. Erm.. bawak family saya bercuti,” jawab Adam. “Awak?”

“Erm.. bercuti, ambil angin, tenangkan fikiran..” jawab Neesa seperti orang kecewa. Matanya sudah berkaca.

“Nuraliz..,”

“Panggil Neesa je.”

Adam tersenyum. “Tak nak! Nuraliz paling istimewa dan takkan berubah.”

Neesa memandang Adam yang sedang duduk di sebelah kirinya dengan pandangan penuh tanda tanya.

Adam tersenyum membalas pandangan Neesa.

“Neesa!” bantah Neesa apabila Adam tetap mahu memanggilnya Nuraliz.

“Nuraliz!”

“Neesa!”

“Nuraliz!”

“Hei.. Encik Adam ni dah pandai melawan ye sekarang ni. Dulu bukan main pendiam,” kata Neesa setelah penat berbalah dengan Adam.

Adam tertawa. “Awak dulu banyak sangat cakap. Tak pernah saya jumpa gadis macam awak. Setiap hari awak datang dengan muka ceria awak tu. Saya masih tak boleh lupa keletah nakal awak masa dalam kelas. Tak habis-habis awak kenakan Miss Yana. Sampaikan Miss Yana mintak Sir Saiful mengajar disebabkan dia tak tahan kena usik dek budak nakal macam awak ni.”

Neesa tertawa mengingati perkara lepas. “Kuat ingatan awak Adam.”

“Saya tak nyanyuk macam awak.”

“Adam!” marah Neesa geram.

Adam tertawa. Pemuda di hadapannya ini memang sungguh ceria. Sekejap senyum, sekejap ketawa. Manakan tidak.. dapat bertemu buah hatinya semula. Ingatkan sampai mati tak dapat berjumpa. Sudah jodoh tak kemana…

“Tapi awak macam tak ceria sekarang ni Nuraliz. Erm.. boleh cerita kalau nak. Saya suka sangat nak menyibuk ni,” kata Adam memandang wajah seiras Maya Karin di sebelahnya.

“Awak dah banyak berubah Adam. Dulu, awaklah paling diam dalam kelas. Susahnya nak dengar suara awak. Macam orang bisu. Entahlah dalam mulut awak tu ada ketul emas ke apa.”

“Saya berubah kerana awak Nuraliz..,” kata Adam perlahan.

“Kerana saya?” Neesa memandang Adam.

“Awak kenapa Nuraliz? Saya tengok awak lain macam aje. Ada masalah boleh cerita. Anggap kita ni kawan Nuraliz. Dulu saya tak pernah bercakap dengan awak tapi hari ini saya nak bercakap dengan awak sepuas-puasnya. Menyesal pulak dulu tak tegur awak. Ceritalah Nuraliz. Saya harap kita dapat berkawan. Jangan segan dengan saya Nuraliz,” pujuk Adam apabila melihat wajah keruh Neesa.

“Saya putus tunang..,” kata Neesa tanpa memandang wajah Adam.

Tiba-tiba Adam ketawa. Neesa semakin hairan. Ada patut dia ketawa mendengar dirinya putus tunang. Adam ni….grrr!

“Saya pun baru putus tunang Nuraliz,” beritahu Adam yang membuatkan Neesa faham kenapa Adam ketawa. Kebetulan pula mereka. Seperti berjodoh. Akhirnya Neesa turut ketawa. Mereka tidak mempedulikan mata-mata yang memandang mereka. Masing-masing sedang ingin merawat kelukaan dihati.

“Dengan siapa?” soal Adam.

“Amal.. Amal Restu..,” beritahu Neesa. Nada suara berubah serak. Air mata yang setitis mengalir dikesat.

“Awak tak nak tanya saya?”

Neesa tertawa kembali. “Dengan siapa?”

“Neesa.”

“Hah??” Neesa terkejut.

“Neesa. Khairunisa. Bukan awak! Ish…”

“Oh..”

Lama mereka berdua terdiam. Melayan perasaan sendiri. Kecewa putus tunang sangat perit. Sebab itu masing-masing membawa diri.

“Saya tak sanggup berdepan dengan wanita yang saya tak cinta. Saya cuba untuk bersama dia. Untuk melupakan insan yang pernah saya sayang dan cuba menerima dia dalam hidup saya. Saya pun bukan muda lagi. Dah 27 tahun. Awak pun sama! Tapi.. saya ingat dia pun terima saya dengan ikhlas. Nampaknya tidak. Dia bermain dengan lelaki lain di belakang saya. Dengan teman baik saya sendiri, Taufiq. Saya tak boleh terima kenyataan. Sebab itu saya buat keputusan untuk putus,” cerita Adam Hadzriz tanpa dipinta. Dia senang meluahkan apa saja yang terbuku dihatinya kepada Neesa Nuraliz.

“Sayangnya dia melepaskan lelaki sebaik awak ni Adam.. Manusia ni kadangkala terlalu tamak. Cetek pemikiran dan tak berfikiran matang. Sebab itu kadangkala sampai melukakan hati orang yang menyayanginya dengan tulus ikhlas. Saya dah serik Adam!” bentak Neesa sedikit kuat.

“Neesa.. ceritalah. Nak balik pun hujan belum reda,” pujuk Adam sambil memberi alasan.

Neesa menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan cerita. “Amal.. Amal Restu Bin Reza Indra. Lelaki Indonesia yang tuanya lebih 3 tahun dari saya. Bapanya ahli perniagaan kat sini. I mean KL. Erm.. saya cintakan dia. Betul-betul. Tapi.. 2 bulan lalu dia pulang ke Indonesia atas urusan perniagaan. Selepas itu, dia berubah. Setahun pertunangan kami, dan kami akan berkahwin bulan hadapan. Tapi.. hatinya ternyata berubah untuk gadis Indonesia. Gadis dari negara asalnya. Yang saya tahu gadis tu namanya Putri. Entahlah Putri Gunung Ledang ke.. Gunung Tahan ke… Gunung Jerai ke.. Gunung Tangkuban Prahu ke.. Gunung Berapi ke.. hem.. Yang penting, semalam Amal call saya beritahu, dia nak putuskan pertunangan kami. Minggu depan dia terus akan langsungkan pernikahan dengan Putri. Saya malas ambil tahu lagi. Segala persiapan perkahwinan saya sebenarnya semuanya telah siap. Cuma kad belum diedar lagi. Kesian family saya, dah banyak habiskan duit. Malu keluarga saya.. Berita putus tunang ni mesti dah tersebar. Banyak kerugian terpaksa ditanggung,” cerita Neesa dalam nada yang sangat sedih. Air mata yang beberapa kali mengalir dilap.

“Erm.. jangan menangis Nuraliz. Mana tahu nanti ada orang datang ajak awak kahwin secara tiba-tiba. Awak terima ajelah.”

“Senang awak cakap!”

Adam ketawa terkekek-kekek.

“Erm.. bila dah muka masam macam ni.. kena makan sesuatu yang manis. Tahu tak?” kata Adam sambil bangun. Tangannya dihulur kepada Neesa.

“Saya boleh bangun sendiri.” Neesa bangun dan berdiri di samping Adam.

Sebuah kereta Toyota Harrier berhenti di hadapan mereka. Seorang lelaki yang agak berumur turun dari kereta tersebut sambil membawa payung menghampiri mereka.

“Encik Adam. Di sini rupanya Encik Adam.”
Adam hanya tersengih. “Maaf menyusahkan Pak Deris.”

“Eh, taklah. Tuan Helmi dan Puan Rita risaukan Encik Adam. Begitu juga dengan Diba dan Nita,” maklum Pak Deris setelah mereka sudah selamat masuk ke dalam kereta.

“Awak nak bawak saya ke mana Adam? Tolong hantarkan saya kat depan tu. Hotel saya kat situ,” tunjuk Neesa pada sebuah bangunan hotel yang sudah kelihatan itu.

Adam menggelengkan kepalanya. “Kan saya nak bagi awak makan benda manis. Bukannya nak culik awak pun Nuraliz.”

“Jangan risau Cik Nuraliz.. Encik Adam ni bukannya orang jahat. Kalau dia buli Cik Nuraliz.. siap Pak Deris kerjakan dia ye. Jangan risaulah!” kata Pak Deris bagi menyedapkan hati gadis yang baru dikenalinya. Dia tersenyum kepada Neesa dan mengenyitkan matanya pada Adam. Adam yang berada di sebelah Neesa hanya ketawa.

Lega hati Neesa mendengar kata-kata Pak Deris yang kedengaran ikhlas dan bersungguh-sungguh itu.

Kereta meluncur sederhana laju menuju ke Tanah Rata. Kemudian membelok ke persimpangan masuk ke Hotel Heritage. Tidak lama kemudian, kereta berhenti di sebuah apartment yang berwarna hitam putih itu. Inggeris Klasik begitu.

“Abang, kemana? Buat Nita risau je!” Anita terus berlari memeluk Adam sebaik saja pintu dibuka dari luar berserta salam.

“Nita.. kalau ye pun, bagilah abang masuk dulu,” tegur Adiba yang tua 5 minit dari Anita. Sikapnya tampak begitu matang. Seperti seorang kakak yang matang walaupun masih muda.

Adam mengusap-usap kepala Anita. “Sorry. Terperangkap dalam hujan kat pasar malam tadi. Dahlah. Nita ni.. manja sungguh!” Adam mencium dahi Anita.

“Kami semua risaukan Adam. Adam pergi mana sayang?” Puan Rita pula berkata. Kerisauannya terubat kini. Hatinya lega melihat anak lelaki tunggalnya berada di depan matanya kini.

“Adam pergi pasar malam tadi. Yang dekat balai polis tu. Atas sikit dari Petronas tu. Adam minta maaf,” kata Adam menghampiri mamanya dan memeluk tubuh wanita sangat dikasihinya.

“Nuraliz. Mari masuk!” kata Adam memanggil Nuraliz yang masih diam tidak berganjak di luar.

“Eh.. sorry tak perasan. Akak..jemputlah masuk! Buat macam rumah kitaorang ye,” Anita mempelawa sambil sempat bergurau.

“Nita!” serentak semua menyebut nama Anita.

Anita menekup mulutnya dan dia ketawa. “Okey..okey. Sorry. Nita gurau je kak. Hehe..,” kata Anita sambil menarik Nuraliz masuk.

“Akak ni macam Maya Karin la..,” kata Adiba pula sambil bersalaman dengan gadis yang dibawa pulang oleh abangnya. “Ye tak ma?”

“Yelah. Ada iras. Siapa nama ni? Janganlah segan-segan. Jemput duduk,” pelawa Puan Rita pula.

Nuraliz terus bersalaman dengan mama Adam. Tangan itu dicium penuh hormat.

“Neesa Nuraliz. Panggil Neesa aje.”
“Nuraliz mama. Panggil Nuraliz,” kata Adam.

“Neesa pun takpe,” bantah Neesa.

“Nuraliz!” Adam pula membantah.

Grr! Geram betul Adam ni! Marah Neesa di dalam hatinya.

“Ai.. bergaduh-gaduh pulak ni. Ada pape ke?” usik Anita.

Puan Rita sudah tersenyum-senyum. Muka Neesa sudah merah menahan rasa malu. Adam pula membuat muka selambanya. Adiba ikut tersenyum seperti mamanya. Anita ketawa terkekek-kekek. Pak Deris pula sama tersenyum dan tertawa kecil.

“Seronok nampak,” tegur satu suara.

“Papa. Ei.. malam-malam macam ni pun boleh mandi lama-lama. Err.. tak sanggup, tak sanggup. Sejuk gedi…,” kata Anita sambil memeluk tubuhnya dan menggosok berulang-kali seolah sejuk benar. Tapi memang sejuk pun. Tengah hujan lagi ni.

“Time macam ni la best mandi. Kamu tu apa tahu. Budak-budak,” kata Tuan Helmi.

“Papa.. budak-budak jangan sebut. Umur Nita 20.. Diba pun 20. Tapi takde budak-budak ye pa…,” kata Adiba seperti mengugut. Pantang betul jika orang menyebut perkataan budak-budak kepada Anita kerana mereka seumur, sebaya, kembar!

Nuraliz kelihatan keliru. Tidak faham. “Mereka ni kembarlah Nuraliz,” beritahu Pak Deris.

“Oh..”

“Nuraliz? Anak dara siapa kamu bawak lari ni Adam?” tanya Tuan Helmi. Keningnya diangkat.

“Ish, abang ni!” marah Puan Rita kepada suaminya.

Adam ketawa. Yang lain juga begitu. Kecuali Nuraliz. Dia tidak mengerti. Pipinya bertambah merah.

“Kawan lama Adam papa. Neesa Nuraliz. Panggil Nuraliz,” khabar Adam.

“Apa khabar pak cik?” tegur Nuraliz berbahasa.

Tuan Helmi mengangguk. “Baik, baik. Kamu dah makan Nuraliz?” soalnya prihatin.

“Dah pak cik.”

Adam bangun sambil diikuti adik-adiknya. Nuraliz jadi tidak keruan ditinggalkan begitu bersama kedua orang tua Adam dan juga Pak Deris.

“Malam ni tidur sini jelah Nuraliz. Ada satu lagi bilik kosong kat sini,” pelawa Puan Rita.

“Eh.. takpelah mak cik. Nanti saya boleh naik teksi balik hotel saya. Tak jauh pun. Dekat je dengan pasar malam yang Adam pergi tadi,” tolak Neesa sopan. Tidak mahu mama Adam tersinggung.

“Kat sini bahaya naik teksi sorang-sorang malam-malam macam ni. Tambah-tambah anak dara macam awak ni Nuraliz. Bukannya pak cik mintak kamu bayar pun. Jangan risaulah,” pujuk Tuan Helmi pula.

“Alah Nuraliz.. janganlah segan-segan dengan keluarga Tuan Helmi ni,” kata Pak Deris.

Neesa diam. Tidak tahu mahu memberikan alasan apa lagi. Ternyata keluarga Adam ini ramah-tamah. Mulut Tuan Helmi dan Puan Rita tak henti-henti bertanya itu dan ini kepadanya. Rupanya mereka pernah tinggal di Alor Star selama setahun. Itupun mereka terpaksa meninggalkan Adam di Alor Star bersama neneknya setelah Tuan Helmi mendapat tawaran menyambung pelajaran di London. Adam yang sudah mendaftar untuk mengambil PMR pada tahun itu tidak dapat mengikut mereka. Sehinggalah selepas tamat SPM, Adam menyambung pelajaran di London. Dua tahun yang lalu, mereka pulang ke Malaysia setelah Adam tamat belajar. Diba dan Nita masih belum tamat belajar. Bulan depan mereka akan kembali ke sana. Itulah serba-sedikit cerita keluarga Adam Hadzriz yang diceritakan oleh Tuan Helmi dan Puan Rita.

“Oh.. jadi kamu ni anak tunggal la ye Nuraliz?” tanya Puan Rita.

“Ye.. kakak saya meninggal masa saya tingkatan 5. Kemalangan,” beritahu Neesa cuba mengawal rasa sedih yang bertandang kembali.

“Maafkan mak cik ye Nuraliz,” Puan Rita berasa serba-salah.

“Eh.. takpe mak cik. Yang pergi tetap pergi…”
Adam muncul bersama Adiba dan Anita sambil di tangan masing-masing membawa makanan dan minuman. Riuh mulut mereka saling usik-mengusik.

“Akak.. jemputlah makan. Ini hidangan istimewa yang abang Adam buat untuk akak,” kata Anita sambil mulutnya sibuk mengunyah sesuatu.

Adam menghulurkan sepiring strawberi kepadanya.

“Banyaknya Adam!” telan liur Nuraliz dibuatnya. Mana taknya. Nak makan strawberi yang masam ni? Erk!

“Kan saya dah cakap, muka masam-masam kenalah makan benda manis,” kata Adam seperti dapat membaca hati Neesa.

“Ni ha.. coklat.. Cicah,” Adam menghulur pulak semangkuk kecil coklat dan lidi kecil.

Neesa tersengih. Belum pernah dia merasai strawberi cicah coklat seperti ini. Sedapnya!

“Habiskan semua tu,” perintah Adam. Dia seronok melihat wajah Neesa yang berubah ceria. Tidak seperti tadi.

“Sure!” kata Neesa yakin. Semua mata memandangnya. Muka Neesa memerah. “Er.. er.. sedap! Macam best pulak.”

Pecah tawa di ruang tamu yang sederhana besar itu.
“Makan sampai kenyang Nuraliz. Kat dapur banyak lagi,” pelawa Puan Rita. Dia merasa yakin bahawa Neesa Nuraliz bakal menjadi menantu sulungnya. Mana tidaknya, Adam pernah memberitahunya bahawa dia akan berkahwin dengan wanita yang menyukai strawberi coklat. Bekas tunang Adam dulu tidak suka strawberi coklat. Coklat pun dia tidak sentuh. Mahu jaga badan katanya. Tetapi itulah, sudah ketentuan, dia ingat Khairunisa akan menjadi menantunya walaupun tidak suka strawberi coklat. Rupanya, hasrat Adam untuk memiliki wanita yang menyukai strawberi coklat akan tercapai dengan Neesa Nuraliz.

Malam itu Neesa terpaksa bermalam di rumah rehat keluarga itu atas desakan mereka sekeluarga terutamanya Adam.

Pagi itu Neesa dihantar pulang ke hotelnya setelah bersarapan dengan keluarga Adam. Neesa membaringkan tubuhnya di atas katil. Pandangan matanya tertancap pada telefon bimbit yang dia tinggalkan. Neesa mencapai telefon bimbit Samsung flip itu. Beberapa panggilan tidak dijawab dilihatnya. Daripada ibunya.

“Assalamualaikum. Ibu!” Neesa memberi salam setelah telefon di angkat oleh ibunya.

“Wa’alaikumusalam. Neesa! Kemana semalaman ibu call tak angkat? Neesa okey tak ni?” soal Puan Juriah bertalu-talu. Risau benar akan anak gadisnya itu.

“Ibu.. Neesa okey. Ibu jangan risau. Semalam Neesa keluar lepas tu tertinggal telefon dalam bilik. Neesa tak perasan pulak ibu call. Maaf ye bu,” pinta Neesa. Rasa bersalah menghantui dirinya kerana telah membuat ibunya risaukan dirinya.

“Lega ibu dengar Neesa okey. Suara pun dah ceria sikit. Ni, baba kirim salam kat Neesa.”

Neesa menjawab salam. “Ibu, Neesa kena pergi dah ni. Neesa nak keluar ambil angin sikit. Kirim salam pada baba okey bu. Jangan risaukan Neesa sebab Neesa memang okey. Neesa dah lupakan apa yang terjadi. InsyaAllah Neesa akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat ni. Pulang nanti kita bincangkan tentang semua persiapan yang telah dibuat tu ye bu?”

“Baiklah Neesa. Ibu tunggu Neesa pulang. Jaga diri baik-baik tau. Assalamualaikum,” Puan Juriah meletakkan telefon.

“Wa’alaikumusalam.” Neesa meletakkan telefon dan meraup mukanya berkali-kali. Matanya dipejam rapat. Tiba-tiba muncul wajah Adam Hadzriz. Neesa membuka matanya. Kepalanya digeleng-geleng. Kemudian dia memejam matanya kembali. Wajah Adam muncul lagi. Membawanya ke alam mimpi yang indah sehinggalah dia tersedar.

“Astaghfirullah…,” Neesa terbangun. Dia memandang jam di telefon bimbitnya yang telah menunjukkan pukul 10 pagi. Dia menepuk dahinya. Dia telah berjanji akan keluar berjalan-jalan dengan keluarga Adam. Mereka akan menjemputnya setengah jam lagi. Neesa tergesa-gesa bangun untuk menyiapkan diri.

Pak Deris memandu Mercedes milik Tuan Helmi. Tuan Helmi dan Puan Rita berada dalam satu kereta manakala Neesa menaiki kereta Toyota Harrier milik Adam yang dipandu oleh Pak Deris semalam. Adam menjadi pemandu mereka. Adiba dan Anita duduk di belakang. Memberi peluang kepada Adam dan bakal kakak ipar mereka itu. Mereka mula menyukai Neesa kerana sikap lemah-lembut gadis itu. Serasi dan dapat menerima mereka dengan baik. Tidak seperti Khairunisa yang sukar didekati dan diajak duduk semeja. Sombong semacam aje!

Adam memberhentikan kereta di ladang teh boh. Mereka turun untuk mengambil gambar dan melawat kilang memproses teh. Neesa berjalan tanpa menyedari dia telah jauh meninggalkan keluarga itu yang sedang seronok mengambil gambar. Bukannya mereka tidak mengajak dia sekali tetapi Neesa segan. Tidak mahu mengganggu percutian keluarga itu.

Adam yang sedang sibuk membantu adik-adiknya mengambil gambar itu baru tersedar yang Neesa sudah tidak ada dengan mereka. “Kak Nuraliz mana?” soalnya pada kedua adiknya itu.

Adiba dan Anita mengangkat bahu. Mereka juga baru perasan Neesa tidak berada bersama mereka. “Papa! Mama! Kak Nuraliz mana?” Anita berlari mendapatkan Tuan Helmi dan Puan Rita.

“Eh.. papa dengan mama tak perasan pulak. Pak Deris, ada nampak tak?” tanya Tuan Helmi pada Pak Deris yang sedang minum teh.

“Tak nampak pulak. Cuba cari kat sebelah sana! Mungkin dia ambil angin kat ladang kot.” Pak Deris membuat andaian. Jarinya ditunjukkan pada sebelah kiri dari tempat yang mereka duduki itu. Kawasan itu nampak cantik. Logik juga jika Neesa ke sana, fikirnya.

Adam berjalan tidak tentu arah. Mana Nuraliz ni? Dia berasa tidak sedap hati. Risau! Walhal Neesa itu sudah cukup dewasa dan pandai menjaga diri sendiri. Tetapi Adam tetap tidak senang hati. Dia tidak mahu kehilangan Neesa Nuraliz kesayangannya lagi.

Tiba-tiba dia ternampak seorang gadis sedang berdiri membelakangkannya. Dia tahu itu Nuraliz!

“Nuraliz!” memanggil Neesa.

Neesa diam tidak berkutik. Adam berlari-lari anak mendapatkan Neesa.

“Nuraliz! Jangan buat saya macam ni. Saya tak mahu kehilangan awak untuk kali kedua,” luah Adam.

Neesa menoleh melihat wajah Adam. “Hilang? Maksud awak?” soalnya pelik.

Adam menggeleng-gelengkan kepalanya. “Ei.. geram betul. Jantung saya berhentiberdetak tahu tak bila tahu awak hilang.”

“Awak ni Adam.. Saya dah cukup besarlah untuk jaga diri sendiri. Jangan risaulah!”

Adam cuba meraih tangan kanan Neesa namun cepat-cepat Neesa mengelak.

“Sorry,” ucap Adam.

“Saya bukan perempuan murah yang boleh disentuh sesuka hati. Saya masih tahu batas-batas antara lelaki dan perempuan. Saya harap awak faham.”

Adam mengangguk. “Maaf Nuraliz, saya terlalu risaukan awak tadi.”

“Adam. Kenapa awak peduli sangat pasal saya?” Neesa bertanya sambil matanya tepat memandang mata Adam. Penuh keberanian.

“Sebab..,” Adam terdiam. Dia memandang mata Nuraliz. “Saya tak mahu kehilangan awak.”

Neesa ketawa kecil. “Awak jangan nak merepek!”

“Saya cintakan awak Neesa Nuraliz!” penuh yakin kata-kata Adam Hadzriz.

Terdiam Neesa mendengar luahan hati Adam. Kedua-duanya diam tidak berkutik.

“Nuraliz, kita balik Alor Star hari ni, saya nak jumpa kedua-dua orang tua awak,” pinta Adam ikhlas.

Kening Neesa bertaut. “Awak biar betul!”

Pukul 10 pagi pada keesokannya, Neesa meninggalkan Cameron Highland bersama dengan Adam. Adam memandu kereta Suzuki Swift milik Neesa dan meninggalkan Toyota Harriernya kepada Pak Deris.

Neesa tidak dapat melelapkan mata biarpun sudah berkali-kali mencuba. Adam asyik menyuruhnya tidur sahaja kerana dia berjanji tidak akan melakukan apa-apa terhadap Neesa.

“Nuraliz, tidurlah,” pujuk Adam.

“Awak ni.. saya tak mengantuklah. Macamana nak tidur?” bangkang Neesa.

“Hem..,” Adam mengeluh. Dia mengalah. Tidak mahu memaksa buah hatinya lagi.

Puas Neesa menolak hasrat Adam untuk bertemu ibu dan babanya namun dia tidak punya alasan yang kukuh lagi apabila Adam meminta diberi peluang. Dia tidak memaksa, cuma dia mengingatkan Neesa bahawa umur mereka tidak muda lagi dan harus berfikiran matang demi masa depan. Bukan cuma memikirkan diri dan perasaan mereka sendiri tanpa memikirkan orang lain. Adam menyuruh Neesa memikirkan kedua orang tuanya yang pasti risau akan dirinya dan pasal semua persiapan kenduri yang telah dilakukan. Adam juga berjanji akan cuba sedaya-upaya untuk membahagiakan Neesa.

“Adam..,” Neesa memanggil Adam lembut. Lain sahaja nadanya. Tidak seperti biasa.

Adam yang sedang memandu menoleh memandang Neesa di sebelah. “Ye sayang.” Adam melihat mata Neesa layu saja.

“Awak ikhlas?” soal Neesa. Matanya masih seperti tadi. Layu sahaja.

“Awak rasa?” Adam bermain tarik tali.

Neesa diam beberapa ketika. “Saya risau awak hanya nak..,” kata-katanya mati di situ.

“Awak risau saya hanya nak selamatkan maruah keluarga awak?” Adam memotong kata-kata Neesa yang terhenti.

Neesa diam. Benar dan tepat sekali tekaan Adam. Itu yang bermain dalam kotak fikirannya.

“Neesa Nuraliz… Saya ikhlas mencintai awak. Kalau awak nak tahu, dari pertama kali tengok awak, saya dah jatuh cinta. Tapi saya usir perasaan tu kerana awak budak nakal masa tu. Tapi dua hari lepas tu, saya tak boleh kalau tak tengok atau dengar suara awak. Dapat tengok dengan ekor mata pun cukuplah bagi saya. Awak mesti tak perasan sebab mulut awak becok saja bercakap setiap kali waktu rehat. Bila waktu belajar, awak asyik memandang ke hadapan,” jelas Adam mengharapkan pengertian Neesa.

“Awak menangi dulu hati ibu dan baba saya. Kalau dapat, nanti saya fikirkan okey?”

Adam mengangguk yakin. Senyumannya meleret. Neesa akhirnya tertidur juga. Dia tersedar apabila mereka sudah tiba di R&R di Gurun. Mereka turun menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa seterusnya menjamu selera di KFC.

“Adam, biar saya pandu pulak,” pinta Neesa sambil menghulurkan tangannya untuk mengambil kunci yang sedang Adam pegang.

“Nope. Kenapa? Awak tak percayakan saya ke?” soal Adam.

“Taklah.. Awak tak penat ke memandu dari tadi?”

Adam menggelengkan kepalanya.

Mereka tiba di rumah Neesa pada pukul 4 petang.

Tuan Farid dan Puan Juriah sudah bersedia di hadapan rumah mereka untuk menyambut kepulangan anak mereka serta seorang rakan yang telah dimaklumkan oleh mereka adalah seorang lelaki.

Neesa mencium tangan dan memeluk kedua orang tuanya. Neesa menangis di bahu ibunya. Ternyata dia sangat lemah apabila berhadapan dengan keluarganya. Tuan Farid turut mengusap-usap belakang anaknya itu.

Adam hanya menjadi pemerhati saja. Di sebalik ketabahan yang cuba ditonjolkan oleh Neesa, rupanya dia menyimpan rasa kecewa yang teramat sangat.

“Ibu, baba. Ini kawan Neesa, Adam,” Neesa memperkenalkan Adam kepada ibu dan babanya.

“Adam!” Tuan Farid terkejut melihat pemuda yang sudah lama tidak ditemuinya itu kini berada di hadapannya kembali.

“Pak cik Farid kan? Tak sangka betul pak cik rupanya baba Nuraliz,” Adam menyalami tangan Tuan Farid. Bahunya ditepuk-tepuk oleh Tuan Farid.

“Abang kenal ke Adam ni?” soal ibu Neesa pula. Hairan melihat mereka berdua.

“Ju ingat tak abang pernah cerita kat Ju tentang pemuda yang selalu ke masjid pada waktu Subuh dengan Maghrib dan Isyak dulu?” tanya Tuan Farid pada isterinya.

Puan Juriah terfikir-fikir. “Ingat bang! Oh… inilah budaknya. Adam Hadzriz ye?” soal Puan Juriah kepada Adam.

Adam mengangguk. Dia tersenyum. “Ye mak cik.”

“Mana papa Adam? Dulu selalu berjumpa di masjid. Lama kita tak jumpa ye Adam.”

“Kalau Adam ni anak Helmi.. maknanya dia anak Rita kan? La.. berjodoh kita ni. Mama kamu tu kawan mak cik. Tak sangka kecil betul dunia ni. Eh! Adam, jemputlah masuk. Berbual di luar pulak.”

Neesa hanya diam mendengar perbualan mereka. Mulanya dia tidak faham sangat tetapi ibunya telah menerangkan segalanya semasa mereka di dapur menyediakan minum petang. Rupanya keluarga mereka saling mengenali. Rumah nenek Adam juga tidak jauh dari rumah mereka sebenarnya. Menurut mamanya, rumah itu kini kosong setelah nenek Adam meninggal dunia kerana sakit tua.

“Mak cik harap Adam faham. Tak manis pula kalau Adam tidur di sini. Maklumlah, rumah mak cik ada anak dara,” Puan Juriah menjelaskan. Tidak mahu Adam tersinggung.

“Eh.. takpe mak cik. Adam boleh tidur di hotel.”

“Adam tidur di rumah pak lang Neesa la. Tak jauh dari sini. Pak cik dah maklumkan. Rumah mereka ada anak bujang 2 orang, sepupu Neesa. Boleh ya nak? Nanti pak cik hantarkan.”

“Susahkan pak cik je..,” Adam berasa segan.

“Tak susahlah. Esok keluarga Adam kan nak datang merisik Neesa. Neesa pun dah setuju. Tadi mak cik dah tanya dia.”

“Nuraliz setuju mak cik?” tanya Adam tidak percaya.

Puan Juriah mengangguk.

Hati Adam menjerit riang. Alhamdulillah.. tidak disangka semuanya menjadi mudah sebegini. Keluarga Neesa juga menerima kehadirannya dengan baik.

“Oh mak kau!”

“Amboi anak dara sorang ni.. melatah pulak!” kata mak andam yang sedang menata-rias wajah Neesa.

“Allah hai.. tumpah la pulak. Tolong hulurkan tisu tu Jihan,” pinta Neesa pada sahabatnya yang sedang duduk bersebelahan dengannya di meja mekap itu.

“Eh.. kau tak payah buat tu. Ketepi! Biar aku lapkan. Karang tumpah pulak kat atas baju bertunang kau tu.”

Neesa bangun dan menuju ke balkoni biliknya. Dia menerima semua cadangan Adam. Kata rakan-rakannya, ini adalah ‘kawin kalut’. Mana tidaknya, pada pukul 10 pagi ini, majlis pertunangan akan diadakan. Pada sebelah petangnya iaitu selepas Asar, majlis akad nikah dan seterusnya kenduri kesyukuran akan dibuat pada sebelah malamnya dan kenduri besar-besaran akan dibuat pada keesokan harinya.

Tidak Neesa sangka, sekelip mata, Amal Restu telah bertukar menjadi Adam Hadzriz.

Untuk majlis pertunangan, Neesa mengenakan kebaya berwarna merah jambu. Pada majlis akad nikah pula, Neesa memakai busana pengantin berwarna putih gading, sedondon dengan Adam. Segak pula bakal suaminya itu.

Dengan sekali lafaz, Neesa Nuraliz sah bergelar isteri kepada Adam Hadzriz. Adam yakin keputusannya untuk mengahwini Neesa tidak salah. Neesa juga tidak lagi murung seperti dulu. Mulutnya kini becok bercerita itu dan ini. Saat membeli busana pengantin dan sepanjang membuat persiapan perkahwinan yang akan berlangsung tetap pada tarikh yang telah dirancangkan oleh keluarganya untuk perkahwinannya bersama Amal Restu. Majlis perkahwinannya tetap ada, cuma pengantin lelakinya saja bertukar.

Adam meraih tangan Neesa untuk menyarungkan cincin serta rantai tangan. Terkejut Neesa apabila Adam menunjukkan di bahagian dalam cincin itu tertulis ‘Strawberi Coklat di Cameron Highland’. Matanya tidak berkelip memandang Adam sehingga mengundang tawa semua orang.

Di rantai tangan pula tertulis nama ‘Adam Hadzriz & Neesa Nuraliz’. Bila masa pula Adam menempahnya? Sempat juga dalam terburu-buru menyiapkan persiapan perkahwinan mereka ini. Air mata kegembiraan Neesa menitis lagi.

“Esok kenduri. Malam ni awak tidur kat hotel dengan keluarga awak dulu. Nanti hilang seri saya,” pinta Neesa pada Adam. Terkekek-kekek dia ketawa apabila muka Adam berubah. Geram benar dengan arahan isterinya.

“Belum apa-apa dah jadi queen control. Jaga awak nanti!” Adam memberi amaran. “Lagi satu. Apa awak-awak? Panggil ‘abang’ ye sayang? Kalau ingkar cakap suami, berdosa nanti!”

“Esok. Saya janji esok saya panggil!” Neesa membuat janji.

“Baik. Abang tunggu. I love you sayang!”

Tidak terkata Neesa apabila Adam dengan selambanya mencium pipinya di hadapan keluarganya. Memang tak tahu malu betul! Grr!

“Abang!” Neesa memanggil menyambut kedatangan suaminya. Bunyi paluan kompang sedikitpun tidak menjejaskan pendengaran Adam. Dia mendengar dengan jelas panggilan Neesa. Senyumannya meleret. Hatinya senang apabila isterinya itu tidak melanggar janji.

Neesa mencium tangan Adam dan seterusnya Adam mengucup dahi Neesa penuh kasih. Baju kahwin yang berwarna merah itu kena dengan pasangan yang kulitnya putih itu. Manakala rombongan dari pihak Adam semuanaya memakai serba pink dan putih. Sedondon saja gerombolan rombongan dari Kuala Lumpur itu. Dan paling tidak Neesa sangka setiap kanak-kanak yang mengiringi mereka memakai gaun pink dan membawa belon strawberi coklat. Menarik! Neesa ketawa tanpa sedar. Adam juga turut ketawa. Melihat pada hantaran yang dibawa, temanya adalah strawberi coklat. Setiap dulang hantaran dihiasi dengan strawberi coklat. Comel betul! Tidak pernah Neesa jangka akan dapat sebuah perkahwinan secomel ini. Sempat pula keluarga Adam membuat persediaan seperti itu. Iyalah.. ada duit semua jalan!

Meriah betul kenduri yang diatur oleh keluarga kedua-dua belah pihak itu. Neesa sangat seronok melihat persembahan tarian zapin, silat, dan bermacam lagi. Pertandingan karaoke turut diadakan. Adam sentiasa disisi Neesa dan menggenggam erat tangan isteri kesayangannya.

Adam kemudian meminta diri sebentar. Neesa sibuk melayan rakan-rakannya yang datang meraikan hari bahagianya.

“Menatap indahnya senyuman diwajahmu. Membuatku terdiam dan terpaku. Mengerti akan hadirnya cinta terindah. Saat kau peluk mesra tubuhku. Banyak kata yang tak mampu ku ungkapkan kepada dirimu. Aku ingin engkau selalu. Hadir dan temani aku. Disetiap langkah, yang menyakiniku. Kau tercipta untukku. Sepanjang hidupku…” dendangan suara Adam bergema.

Terpaku Neesa melihat suaminya mendendangkan lagu kegemarannya. Setitis air mata gugur jua. Tidak sangka begitu dalamnya cinta Adam. Adam yang dulunya seorang pendiam dan pemalu kini berubah. Seperti tidak percaya bahawa lelaki yang dia miliki sekarang adalah Adam Hadzriz yang pernah juga dia minati suatu ketika dulu. Yang pendiam dan tidak banyak bercakap kecuali apabila ditanya.

Neesa mendekati Adam apabila lagu ‘Tercipta Untukku’ dari kumpulan Ungu telah habis dinyanyikan oleh Adam. Boleh tahan juga suara suaminya.

Neesa membisikkan sesuatu kepada DJ dan tidak lama kemudian, dia mengambil mikrofon dari tangan Adam. Senyuman dihadiahkan khas buat si suami.

“Kita nyanyi sama-sama.”

“Tiba saatnya kita saling bicara. Tentang perasaan yang kian menyeksa. Tentang rindu yang menggebu. Tentang cinta yang tak terungkap. Sudah terlalu lama kita berdiam. Tenggelam dalam gelisah yang tak teredah. Namun, penuhi mimpi-mimpi malam kita. Duhai cintaku, sayangku, lepaskanlah. Perasaanmu, rindumu, seluruh cintamu. Dan kini hanya ada aku dan dirimu. Sesaat di keabadian. Jika terwaktu bisa kita hampirkan. Dan dalam mimpi-mimpi jadi kenyataan. Meleburkan semua batas. Antara kau dan aku. Kita…. Duhai cintaku, sayangku, lepaskanlah. Perasaanmu, rindumu, seluruh cintamu. Dan kini hanya ada aku dan dirimu. Sesaat di keabadian. Duhai cintaku, sayangku, lepaskanlah. Perasaanmu, rindumu, cintamu………..”

Dua bulan kemudian, Neesa tidak sangka dirinya akan dipertemukan kembali dengan bekas tunangnya ketika dia sedang berjalan-jalan di pantai bersama dengan Adam. Mengambil angin petang bersama suaminya sudah menjadi rutin hujung minggu mereka berdua.

Neesa lihat dari jauh seorang lelaki mendekatinya. Dia begitu mengenali lelaki itu. Malahan, susuk tubuh lelaki itulah yang paling dia hafal. Tidak mudah melupakan insan yang pernah kita cintai dan pernah juga mengecewakan kita.

“Neesa…,” perlahan nama itu disebut. Banyak mata yang memandang. Kaku. Senyap! Itulah yang terjadi di kala itu. Tiada siapa mengundang dan si lelaki turut tahu dia tidak layak lagi berada di hadapan Neesa namun, apalah dayanya. Segalanya harus diterangkan biar jelas semuanya. Biar tidak ada rasa beban lagi yang tertanggung di dadanya.

“I minta maaf Neesa,” sebaris ayat yang sudah pasti tidak akan mengembalikan segalanya seperti sediakala.

Neesa mendengus. Kepalanya ditolehkan ke tepi. Tidak sanggup memandang wajah itu lagi. Lelaki penipu!

“I masih sayangkan you Neesa,” masih berani dia menyuarakan isi hatinya.

Pandangan tajam lelaki di sebelah Neesa sedikit menggentarkan hatinya.

“Apa kau cakap?” Adam bertanya. Sedikit kasar namun nada suara masih terkawal.

“Ermm.. sorry.. You pasti Adam kan? Husband Neesa,” tahu sahaja gerangan lelaki di sebelah Neesa tetapi masih mahu bermain api. Lagaknya si lelaki segak itu.

Adam mengerutkan dahi. Keningnya bertaut. Adam menarik bahu Neesa agar menghadapnya. Sengaja tidak mahu bertanya sendiri kepada lelaki itu. Biarlah Neesa yang menjelaskan padanya sendiri.

“Neesa…,” panggilnya lembut apabila melihat isterinya itu masih diam dan mukanya begitu perit menahan rasa sedih.

Neesa akhirnya mendongak memandang suaminya. Dengan sisa-sisa kekuatan yang masih ada, dia bersuara, “Amal.. Amal Restu….,” akhirnya air matanya gugur jua.

Adam menarik Neesa ke dalam pelukannya. “Sayang.. jangan menangis,” pujuk Adam kepada isteri tercinta.

“Actually apa yang you nak Amal?” soal Adam dengan ketegasan. Tidak mahu berlembut biarpun wajah Amal begitu keruh.

“I ada sesuatu yang perlu dijelaskan di sini. Boleh tak you dengar penjelasan I ni Neesa? Untuk terakhir kalinya,” permintaannya penuh mengharap agar Neesa sudi menjadi pendengar. Supaya hatinya itu lega.

Neesa mengangguk. Amal tersenyum. Adam terkejut.

“Tapi.. dengan husband I sekali. Biar dia dengar juga apa yang you nak bagitau I,” Neesa meletakkan syarat di situ. Tidak mahu membelakangkan Adam sebagai suaminya. Dia harus menghormati suaminya.

Amal mengangguk walaupun berat hati.

“Sebenarnya…. bukan I yang nak putuskan pertunangan kita dan batalkan perkahwinan kita. Ia rancangan Rina, adik I..”

Mata Neesa tidak buntang memandang Amal. Begitu juga dengan Adam. Seperti tidak percaya. Tiada kata yang terluah.

“Dia yang selama ini tak sukakan hubungan kita.. telah hasut family I dan buat fitnah pada you. Dan.. you pun tahu, pengaruh besar adik I tu. Dia tunggu masa yang sesuai untuk menjahanamkan hubungan kita dan dia mahu hati you betul-betul terluka. I minta maaf, I tak sangka adik kandung I sebegitu kejam. I minta maaf…,” kesal Amal. Wajahnya tunduk. Hatinya begitu sebak. Hanya sedikit kesilapan, cintanya perlu diluputkan buat Neesa. Berita perkahwinan gadis yang sangat dia cintai itu telah sampai ke telinganya melalui Rina, adiknya. Pada mulanya dia tidak percaya, namun setelah disiasat, ternyata Rina boleh dipercayai kali ini.

“Habis, kenapa you pulak yang contact I? You sendiri yang bagitau nak putuskan hubungan and you dah ada someone else. So.. kenapa you nak blame Rina saja sedangkan yang buat keputusan? I tak faham..,” tanya Neesa. Dia kelihatan bingung. Adam mengusap-usap belakang isterinya cuba menenangkan Neesa yang nampaknya tidak tenteram dan mula tidak terkawal. Nafas Neesa turun naik dengan cepat. Mungkin menahan rasa marah dan geram.

“I tak mungkin buat macam tu kalau bukan fitnah si Rina tu!” bentak Amal. Suaranya tinggi. Dia begitu geram dengan dirinya sendiri kerana begitu mudah terpengaruh dengan Rina.

“Jadi.. kita.. kita.. putus.. angkara fitnah orang? Begitu??” tanya Neesa pada Amal dengan nada suara yang tinggi.

Amal mengangguk lemah. “Dan.. salah I yang terburu-buru ambil tindakan, I minta maaf.”

Neesa tidak dapat menahan rasa sedih lagi. Air matanya begitu laju mengalir. Selendangnya turut basah dek air mata itu. Dia memeluk Adam. Meminjam bahu suaminya mungkin dapat mengurangkan rasa sakit di hati. Adam mengusap-usap belakang Neesa. Dia juga tidak terkata. Angkara fitnah, dua cinta terputus.

“Sayang.. Sayang!” Adam memanggil Neesa apabila tidak kedengaran lagi esak tangis isterinya itu. Tubuh Neesa juga lembik semacam. Apabila tubuh itu hampir rebah, Adam merangkul Neesa dan terus membawanya ke kereta.

“Neesa minta maaf bang. Kerana Neesa, abang tak dapat makan jagung bakar petang tadi,” kata Neesa pada Adam yang setia menemaninya di wad dia ditahan.

Adam ketawa. “Itu yang sayang fikirkan? Lupakan. Yang penting Neesa dengan baby kita ni selamat,” kata Adam sambil mengusap pipi isteri kesayangannya. Tidak sabar menunggu kehadiran bayi yang menjadi lambang kasih mereka berdua.

“Neesa tak sangka.. punca yang sikit saja, Neesa putus dengan Amal dan tiba-tiba.. lelaki handsome ni muncul dalam hidup Neesa dan Neesa sekarang dah…,” Neesa tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia begitu sebak. Air matanya gugur lagi.

Adam merapati isterinya. Wajah itu diusap lembut. “Hei.. sayang abang ni kenapa sensitif sangat ni? Janganlah menangis. Nanti baby kat dalam pun sedih jugak tengok ibu dia menangis. Buang yang keruh, ambil yang jernih okay sayang. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ni. Lagipun.. sayang kan lagi beruntung sebab dapat husband lebih handsome dari Amal,” Adam menyelitkan gurauan di dalam kata-katanya. Suka benar dia apabila melihat Neesa tersenyum. Wajah senyuman riang itulah yang dia rindukan. Sentiasa rindukan meskipun akan selalu melihatnya!